Oleh Hassan Mohd. Noor
Bergabung sebagai satu parti tunggal mewakili
masyarakat India. Itulah mesej yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Barisan
Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor ketika merasmikan persidangan
perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di Kuala Lumpur semalam.
Tujuan penggabungan itu adalah mewujudkan sebuah parti yang mewakili masyarakat
India menjadi parti yang dapat menjalin kerjasama demi pembangunan dan
kepentingan kaum itu. Mesej yang sama pernah dilontarkan pelbagai pihak sebelum
ini tetapi tidak ada usaha-usaha yang konkrit dilakukan.
Harus diingat, penggabungan atau penyatuan
ini memerlukan pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan. Usaha penyatuan ini
menjadi rumit disebabkan sikap ego, tidak mahu bertolak ansur serta tidak
sanggup mengorbankan jawatan dan kedudukan masing-masing. Sikap jujur dan
ikhlas amat penting dalam memenuhi matlamat penyatuan ini. Mungkin juga ada
faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu tidak dapat dilakukan.