Kemenangan kerajaan dalam permohonannya
menolak rayuan pihak Gereja Katolik untuk mengenepikan permohonan untuk merayu
keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kalimah Allah disambut umat Islam
dengan penuh kesyukuran dan kelegaan. Keputusan Mahkamah Rayuan 22 Ogos lalu di
Putrajaya bermakna perbicaraan penuh akan berlangsung mulai 10 September depan.
Perjuangan masih belum selesai dalam
mempertahan kesucian kalimah Allah yang kini direbut oleh puak-puak Kristian
untuk digunakan sebagai terjemahan istilah 'God'
di dalam kitab Injil berbahasa Melayu yang dipanggil 'Al Kitab'. Isunya tidaklah berbelit-belit seperti mana yang cuba
digambarkan oleh pihak Kristian.
Mereka menggunakan alasan bahawa penganut
Kristian di Sabah dan Sarawak sudahpun dibenarkan menggunakan kalimah Allah di
dalam amalan keagamaan mereka sejak puluhan tahun dulu. Mereka juga menggunakan
alasan bahasa kalimah Allah juga sudah menjadi sebati dengan budaya orang Arab
Kristian sejak ratusan tahun dahulu.
Kedua-dua fakta tersebut memang tidak boleh
di nafikan kerana itulah keadaannya di negara-negara Arab yang mempunyai
populasi Kristian dan begitu juga di Sabah dan Sarawak sebelum kedua negeri
tersebut menganggotai Persekutuan Malaysia pada 1963. Bagaimanapun kedua-dua
alasan tersebut tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menegakkan benang
yang basah oleh pihak gereja.
Apatah lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan
sudah dinyatakan dengan terang lagi jelas bahawa Islam adalah agama persekutuan
atau agama negara sepertimana yang termaktub di dalam Artikel 3(1). Ini
bermakna Islam adalah satu-satu agama negara yang diakui oleh Perlembagaan
sebagai bukan sahaja mempunyai status rasmi tetapi juga ia adalah agama yang
dilindungi statusnya di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Walaupun Perlembagaan membenarkan agama-agama lain diamalkan secara
bebas tetapi hanya agama Islam sahaja yang mempunyai kedudukan istimewa yang
merangkumi perlindungan terhadap kemuliaan, pengembangan, penyebaran serta
perundanganya.
Kerajaan bertanggungjawab melindungi Islam di
negara ini dalam apa jua keadaan dan mengambil apa jua bentuk tindakan agar ia tidak
terancam, tergugat atau tercemar oleh mana-mana pihak terhadap agama-agama
lain. Usaha pihak Kristian untuk mengguna kalimah Allah di dalam kitab agama
mereka boleh dianggap sebagai satu ancaman kepada Islam.
Oleh kerana itu kerajaan dengan kuasa pemerintahan
yang dimilikinya perlu mengambil segala usaha di dalam kerangka perundangan
negara supaya ancaman ini dapat dipatahkan. Umum tahu isu kalimah Allah ini
telah dipolitikkan oleh pihak gereja yang menyokong pembangkang secara terangan
semasa Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
Anwar Ibrahim yang menerajui pakatan
pembangkang telah menegaskan bahawa adalah menjadi dasar mereka untuk
membenarkan Gereja Katolik mengguna kalimah itu jika berkuasa. Sebab itulah
pihak gereja begitu yakin dan teruja dengan jaminan Anwar sampaikan sokongan
diberikan oleh gerakan Kristian di Jerusalem.
Ini membuktikan apa yang diperjuangkan oleh
gereja di negara ini bukan sekadar isu kalimah Allah tetapi ia hanya menjadi
batu loncatan kepada suatu agenda yang lebih besar dan menakutkan. Tujuan
Kristian ialah menukar Malaysia kepada sebuah sistem pemerintahan berlandaskan
republik seperti di Singapura di mana Kristian pula akan menjadi agama rasmi di
Tanah Melayu ini.
Sudah banyak bukti yang menunjukkan usaha
Kristian menjurus kepada agenda itu dan mereka akan memastikan ia mendapat
sokongan antarabangsa. Kenyataan Duta Vatican, Joseph Marino yang menyokong
secara terbuka penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini
sudah menjadi bukti kukuh bahawa gereja akan mengguna pengaruh gerakan Kristian
antarabangsa untuk menyerang Malaysia.
Dap juga memainkan peranan penting dalam
gerakan Kristianisasi kerana sebahagian besar pucuk pimpinannya adalah beragama
Kristian. Malah jika diperhati senarai nama-nama di dalam Jawatankuasa
Eksekutif Pusat Dap, dua pertiganya adalah daripada kalangan Cina Kristian.
Kejayaan Dap memenangi jumlah kerusi
pembangkang di Parlimen sebanyak 38 buah, memberi lonjakan semangat kepada
parti itu untuk mengadakan kesepakatan dengan pihak gereja. Gerakan
Kristianisasi bukan sahaja didalangi oleh pihak gereja tetapi juga
diperkukuhkan dengan gandingan politik daripada Dap serta jaminan dari Anwar.
No comments:
Post a Comment