TimbaIan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin telah memberikan isyarat yang jelas bahawa kerajaan sama sekali tidak
akan tunduk dengan tekanan yang dibuat oleh Persatuan-persatuan Lembaga
Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM). Sememangnya ketegasan itu wajar kerana rakyat
semakin muak dengan mainan Dong Zong yang tidak sudah-sudah dengan pemikiran
sempit mereka.
Biar pun sudah berkali-kali diperjelaskan
bahawa tiada agenda dalam PPPM untuk menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis
kebangsaan Cina tetapi persatuan itu terus juga buat-buat tidak faham. Sebab
itulah, bukan kata Muhyiddin malahan kita juga mempersoalkan apakah sebenarnya
yang Dong Zong mahukan.
PPPM turut digubal dengan penyertaan
persatuan itu dan mereka sudah pasti faham apa yang akan dilaksanakan melalui
pelan berkenaan tetapi malangnya mereka terus melakukan penentangan berterusan.
Sepatutnya, Dong Zong perlu berjiwa besar dan berterima kasih dengan sikap
kerajaan yang turut menjemput mereka dalam merangka pelan tersebut.
Kerajaan ikhlas berbuat demikian bagi
memastikan semua pihak berpuas hati dan tidak timbul sebarang isu apabila ia
dilancarkan bulan depan. Tetapi malangnya, Dong Zong seolah-olah mahu terus
memainkan sentimen dalam soal memperjuangkan bahasa Cina dan sekolah jenis
kebangsaan Cina. Ada sahaja bantahan mereka sehingga kita berasa mual untuk
mendengarnya. Jika Dong Zong ikhlas mereka sepatutnya memberi cadangan seperti
mana sikap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai
satu ancaman.
Bagaimanapun Dong Zong memilih pendekatan
yang menyebabkan timbul tanggapan bahawa persatuan itu ingin terus
berkonfrantasi dengan kerajaan serta meracuni pemikiran masyarakat Cina. Oleh
itu, rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina tidak terus terpengaruh dengan wayang
yang dimainkan oleh Dong Zong. Seperti mana kata Muhyiddin, kita juga
tertanya-tanya apakah tujuan persatuan itu.
PPPM harus dilancar dan dilaksanakan kerana
ia melibatkan usaha bagi meningkatkan sistem pendidikan negara. Kalaulah kerenah puak seperti Dong Zong ini
dilayan sampai ke bila pun kita tidak dapat menyaksikan peningkatan dalam
sistem berkenaan. Biarlah Dong Zong dengan protes mereka kerana mereka bukanlah
kelompok yang mewakili keseluruhan masyarakat Cina kerana bak kata Muhyiddin, ...kita
tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja.
Apa yang penting ialah segala kebimbangan
Dong Zong berhubung sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Cina adalah tidak
betul. Dari semasa ke semasa, kita yakin rakyat akan mengetahui juga siapa yang
betul dan siapa yang terus mahu berpolitik.
Kalau Dong Zong berhasrat untuk berpolitik
maka masuklah ke gelanggang politik, jangan mendabik dada menyatakan mereka
pejuang pendidikan Cina tetapi tindak tanduk seperti parti politik. Kerajaan
mengamalkan sikap terbuka, sentiasa bersedia menerima kritikan dan teguran.
Malahan dalam apa juga perkara melibatkan rakyat, kerajaan sentiasa membuka
pintu kepada rakyat untuk memberi pandangan tetapi janganlah melampau.
Apa yang penting, sesuatu cadangan itu mesti
berteraskan kepada kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya menjuruskan
kepada sesuatu kaum sahaja. Begitulah juga PPPM, sementara sekolah jenis
kebangsaan terus dipertahankan dan bahasa ibunda masing-masing dikekalkan,
keupayaan sekolah-sekolah lain pula dipertingkatkan.
Justeru tidak perlulah lagi kita berasa
khuatir atau bimbang dengan mainan yang ditonjolkan oleh Dong Zong. Jika Dong Zong mahu bercakap soal sesuatu
kaum sahaja, maka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada kaum lain juga boleh
berbuat demikian.
Tetapi malangnya kalaulah NGO seumpama itu
khususnya daripada orang Melayu bersuara, mereka akan dituduh rasis atau
bersikap perkauman, bagaimanapun setakat ini tidak ada pula mana-mana pihak
khususnya parti politik tertentu mahu mengatakan Dong Zong bersikap perkauman. Berikutan
keadaan itu adalah diharapkan Dong Zong akan lebih bersikap terbuka dalam
memperkatakan soal PPPM ini. Ikhlaslah kalau betul-betul ingin memperjuangkan
soal pendidikan.
Sebenarnya tidak salah untuk Dong Zong
memperjuangkan perkara berkenaan tetapi janganlah melihat ia dari sudut sempit
dan kepentingan kaum tertentu sahaja. Hakikatnya, sudah lama Dong Zong bersikap
demikian sehinggakan ada pihak melihat persatuan itu seolah-olah sudah
melampau. Dong Zong tidak boleh menganggap mereka begitu istimewa sehingga apa
juga desakan dan tuntutan mereka perlu dilayan.
Mereka hanya sebuah persatuan, oleh itu
mereka perlu memahami hanya layak untuk dilayan sebagai sebuah persatuan, tidak
lebih daripada itu. Kalau Dong Zong mahu semua tuntutan mereka dilayan,
susahlah kerajaan. Namun begitu dengan kenyataan Muhyiddin, kita percaya bahawa
kerajaan tidak akan tunduk dengan tekanan Dong Zong lagi.
Sememangnya inilah tindakan paling tepat
kerana di negara ini tidak boleh ada mana-mana pun persatuan yang dilihat
semakin besar kepala. Ini bukanlah bermaksud, kita hendak menyekat kebebasan
bersuara dan memberi pendapat atau kerajaan perlu melaksanakan sesuatu dasar
mengikut kehendak kerajaan sahaja tetapi salurkanlah sebarang pandangan secara
ikhlas dan jujur.
Kerajaan sudah bersikap terbuka dalam soal
PPPM ini, kalau betul kerajaan mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan tidak
kira Cina atau Tamil serta menghapuskan bahasa ibunda masing-masing sudah
pastilah kerajaan tidak akan menjemput persatuan seperti Dong Zong untuk turut
serta. Tetapi itu tidak berlaku sebaliknya semua pihak diberi peluang memberi
pandangan termasuklah Dong Zong.
Apabila perbincangan dijalankan dan keputusan
sudah dibuat, maka hormati kesepakatan bersama. Janganlah amalkan sikap rumah
siap pahat berbunyi. Semoga dalam isu PPPM ini, kerajaan akan
terus tegas dan tidak membiarkan tindakan Dong Zong menjadi penghalang kepada
agenda perkembangan sistem pendidikan negara.
Tidak kisahlah apa pun Dong Zong hendak buat
atau lakukan selepas ini tetapi apa yang pasti PPPM perlu dilancarkan seperti
mana dijadualkan kerana itulah hasrat seluruh rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment