Oleh : Ridhuan Tee Abdullah
Mentang-mentang pengerusi sebuah NGO ini
seorang peguam, sikit-sikit keluar kenyataan mahu menyaman kerajaan. Pada saya,
tiada siapa yang larang. Negara ini, negara demokrasi sesiapapun ada hak. Menang
atau kalah, biar mahkamah menentukan. Tidak perlu gertak sana, gertak sini. Sepanjang
pengetahuan saya, banyak kes yang melibatkan sensitiviti agama, ada masa kita kalah,
ada ketika kita menang. Kita menerima seadanya tanpa banyak soal. Contoh, kes
perebutan mayat Nyonya Tahir 2008.
Setelah mahkamah memutuskan, menyerahkan
mayat beliau kepada keluarga bukan Islam, kita menerima dengan dada terbuka
tanpa banyak soal. Begitu juga kes Indira dan Ridzuan. Dua anak sudah berada di
tangan ibunya. Tinggal seorang di tangan bekas suami.
NGO ini dengan banyak lagi NGO bukan Islam
yang lain, sedang berusaha untuk memastikan lima negeri lain iaitu Perak,
Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak melakukan pindaan undang-undang
untuk menjadikannya selari dengan Perlembagaan Persekutuan, berhubung kes
seperti ini.
Satu rang pindaan ke atas Akta Pentadbiran
Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) yang membenarkan seseorang
ibu atau bapa untuk menukar agama anak cuba dibawa ke Parlimen. Malangnya,
belum sempat dibentang, telah ditarik balik selepas tentangan daripada kumpulan
bukan Islam.
Mereka mahukan pasangan suami isteri bukan
Islam, jika salah seorang daripadanya memeluk Islam, tidak ada hak untuk
membawa atau mengIslamkan anak-anak mereka. Mereka mesti kekal dalam bukan
Islam sehinggalah umurnya mencapai 18 tahun.
Katakanlah kita terbalikkan kes ini, si ibu
itu Islam dan si bapa tidak Islam. Apakah pula keputusan hakim tersebut? Apakah
si ibu akan mendapat hak penjagaan? Apakah pertubuhan itu dan NGO bukan Islam
lain akan setuju dengan keputusan ini?
Pada mereka, jika anak-anak tersebut ‘diislamkan’ ia merupakan suatu yang
amat tidak adil kepada pasangan bukan Islam tersebut. Namun, jika anak-anak
tidak diislamkan, boleh pula. Persoalan saya, siapakah pertubuhan ini untuk
menentukan masa depan Malaysia? Pesan saya kepada umat Islam, jangan sesekali
menerima jemputan untuk berada dalam NGO ini.
Setakat ini, ada lima penganut ajaran (agama)
di dalamnya. Setiap seorang daripada mereka boleh mewakili semua agama yang ada
di situ. Jika ada wakil Islam, suara kita hanya ada satu. Manakala suara bukan
Islam ada lima. Jika ada undian, pasti kita akan kalah.
Jika mereka mahu merujuk kepada Perlembagaan
Persekutuan, hatta PBB sama sekali, silakan. Pokoknya, kita jangan goyah dengan
desakan mereka. Ini urusan dalaman kita. Kita ada perlembagaan negeri dan
undang-undang syariah di bawah raja-raja Melayu. Apa yang perlu ditakutkan?
Pertahankan. Jangan sama sekali benarkan agama Islam disamaratakan dengan agama
lain.
Paling penting, lantik hakim yang beragama
Islam mengendalikan semua kes ini, bukan sebaliknya. Pertubuhan ini mendesak
supaya diperbanyakkan hakim bukan Islam di mahkamah agar keputusan tidak berat
sebelah. Nasihat saya kepada kerajaan. Tidak perlu. Kes berkaitan Islam mesti
dikendalikan oleh hakim Islam, kerana Islam mengajar kita berlaku adil kepada
bukan Islam.
Setakat ini, bila hakim bukan Islam
mengendalikan kes-kes berkaitan Islam, pasti keputusannya tidak berpihak kepada
Islam. Sedarlah, kita sudah terlalu sangat bertoleransi dan berlembut.
Bangunlah dari tidurmu umatku! Kita hari ini sudah terlalu banyak dihina di
bumi sendiri. Jangan biarkan kita dihina lagi.
Pertubuhan ini selalu membangkitkan soal
keadilan. Persoalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan keadilan? Keadilan
dalam Islam, bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan seorang sebiji?
Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan
yang istimewa kepada agama Islam, selaku Agama Persekutuan dan agama anutan
majoriti penduduk. Itu adil namanya, walaupun bukan Islam melihatnya tidak
adil. Justeru, tidak perlu dipinda perlembagaan negeri atau diubah kedudukan
mahkamah syariah.
Jika dipinda atau diubah, apa lagi yang
tinggal kepada umat Islam. Sudahlah hak-hak istimewa mereka diambil, bahasa
sendiri tidak terdaulat, kedudukan agama makin kecil dan sedikit. Jika yang
sedikit ini pun terus mahu diambil, apa lagi yang tinggal? Apa sebenarnya yang
bukan Islam mahu?
No comments:
Post a Comment