23 August 2013

Rakyat Kelantan Masih Menanti Pembaharuan




Selepas lebih 100 hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, rakyat negeri ini masih tertunggu-tunggu apakah pembaharuan yang beliau hendak lakukan. Pada ketika rakyat Kelantan khususnya golongan muda mengharapkan perubahan terutama dalam aspek pembangunan ekonomi segera dilaksanakan, Ahmad pula dilihat lebih berminat sebagai penyambung tugas bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia dijelaskan dengan kenyataan Ahmad melalui facebook miliknya bahawa beliau mempunyai komitmen cukup tinggi untuk meneruskan prinsip ubudiyah, masuliyah dan itqan atau UMI yang diasaskan oleh Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebelum ini.


Umum mengetahui Ahmad sebenarnya masih dibayangi kepimpinan Nik Abdul Aziz yang diangkat sebagai pemimpin besar Pas di Kelantan apabila berjaya mentadbir kerajaan negeri selama 22 tahun, meskipun sepanjang pemerintahan beliau banyak projek dijanjikan kepada rakyat tidak dilaksanakan.

Lantaran itu Ahmad dilihat berdepan tugas mencabar untuk membentuk imej dan gaya kepimpinan beliau sendiri. Pada masa sama, beliau berusaha mengekalkan imej kepimpinan ulama Pas yang sebenanya merupakan faktor sokongan rakyat kepada parti tersebut pada beberapa pilihan raya yang lalu.

Maka tidak hairanlah berita-berita yang di muat naik dalam facebook beliau lebih banyak memaparkan usaha Ahmad turun padang, berceramah dengan berjubah-imej seorang tok guru yang begitu sinonim dengan Nik Abduk Aziz.

Mengulas perkara tersebut, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat menegaskan, Ahmad tidak boleh menjadikan alasan ‘bayangan’ Nik Abdul Aziz sebagai penghalang kepada beliau untuk membuat perubahan di Kelantan.

Sepatutnya, kata beliau, sebagai sebuah pentadbiran yang cekap, Ahmad telahpun membentangkan pelan strategik pembangunan negeri Kelantan bagi membawa negeri ini ke hadapan dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Pelan strategik pembangunan itu mestilah merangkumi segenap aspek yang boleh membawa Kelantan ke hadapan, namun mengecewakan apabila kita tidak dapat secara jelas pelan pembangunan ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menyentuh personaliti Ahmad dengan pendekatan yang dilihat lemah lembut berbanding Nik Abdul Aziz, Samsul Adabi berkata, pelantikan beliau, sebenarnya telah mewujudkan suasana hubungan yang lebih harmoni dengan Kerajaan Persekutuan.

Malah, beliau melihat keperibadian Ahmad itu juga memungkinkan semula kerjasama antara Pas dan UMNO serta perpaduan antara masyarakat Islam khususnya dari kalangan penyokong kedua-dua parti berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebagai sebuah kerajaan yang ditadbir oleh sebuah parti politik, Pas Kelantan tidak boleh bergantung kepada pendekatan agama sehingga mengabaikan keperluan pembangunan fizikal bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Barisan Exco kalangan profesional juga tidak ketara, nak harap kumpulan agama, mereka hanya menonjolkan peribadi yang baik kepada rakyat, tetapi kita juga nak tengok pelan pembangunan sebab (pentadbiran kerajaan negeri) melibatkan politik dan orang," katanya yang juga anak Kelantan.

Sementara itu, mengulas isu sama, Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof dalam ulasannya melalui facebook milik beliau baru-baru ini menyifatkan, tidak ada keghairahan baru dalam politik Kelantan selepas 100 hari pilihan raya berlalu.

Jelas Mohammad Agus, keadaan itu berlaku disebabkan kerajaan baharu Pas Kelantan sekadar meneruskan dasar lama. Kenapa begitu kering dan miskinnya idea kerajaan baru Kelantan ini? Adakah cukup sekadar menjadi kerajaan punch card’ sahaja, masuk pejabat jam 8 pagi dan balik jam 5 petang’kata Mohammad Agus.

Pendek kata, bukan hanya Samsul Adabi dan Mohammad Agus yang masih ternanti-nanti faktor ‘wow’ yang mungkin berlaku sejak Ahmad mengambil alih teraju kerajaan Pas Kelantan bermula 6 Mei lalu, tetapi juga rakyat Kelantan seluruhnya.

Kata seorang individu dikenali sebagai Najib Nordin dalam facebook milik Ahmad: Ikhlas cakap, setakat ini tidak ada apa yang boleh dibanggakan, tiada ‘wow’ faktor sehingga kini." Faktor ‘wow’ yang diharapkan rakyat Kelantan bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan ekonomi, tetapi juga kemudahan asas dan prasarana seperti bekalan air bersih dan jalan raya.

Ulas seorang individu dikenali sebagai Abdul Lattif: “Aku cuma harap kerajaan selesaikan isu air. Aku tak minta projek hebat-hebat, Kelantan maju macam Kuala Lumpur, cukup dengan keperluan asas, air paling penting berkarat pun tak apa asal laju dan tak putus. Berkarat kami boleh tapis."

Apapun, kita sama-sama nantikan apakah mungkin akan ada kejutan yang berlaku dalam tempoh 100 hari berikutnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...