Harapan menggunung ahli-ahli DAP
untuk melihat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu
dilaksanakan secara telus dan bersih mungkin tidak kesampaian. Ini kerana sesi
dialog yang diadakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih meminggirkan
kalangan perwakilan yang dilihat tidak sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi
DAP.
Naib Pengerusi DAP Cawangan
Ladang Paroi, David Dass berkata, satu sesi dialog dengan perwakilan negeri ini
telah diadakan Ahad lalu di sebuah hotel di sini. Bagaimanapun katanya,
perwakilan dari cawangannya tidak dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut.
"Saya hanya menerima SMS (khidmat
pesanan ringkas) daripada seorang rakan dua hari lalu yang memberitahu mengenai
perjumpaan tersebut. Belum pernah ada pertemuan diadakan dengan para perwakilan
sebelum berlangsung sesuatu pemilihan," katanya dalam sidang akhbar hari
ini.
Yang turut hadir Pengerusi DAP
Cawangan Desa Dahlia Senawang, Richard Francis; Naib Pengerusi DAP Cawangan
Nilai Perdana, S. Rajashegher dan bekas ahli DAP, S. Vijayan.
Ketiga-tiga pemimpin DAP cawangan
itu turut mengakui cawangan mereka tidak menerima jemputan untuk menghadiri
pertemuan tersebut. Menurut Rajashegher, Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook
perlu tampil menjelaskan mengapa gagal membuat makluman tersebut sedangkan
mereka adalah perwakilan DAP yang sah.
"Saya difahamkan SMS yang
dihantar kepada perwakilan adalah dalam bahasa Melayu dan Cina dan tidak ada
bahasa Tamil. Ia seolah-olah disengajakan dengan tujuan untuk meminggirkan kaum
India daripada program penting yang berlaku dalam parti," ujarnya.
Berdasarkan kepada insiden Ahad
lalu, kesemua mereka mengesyaki program pertemuan dengan para perwakilan di
negeri-negeri mempunyai agenda tersembunyi kerana hanya perwakilan tertentu
sahaja diajak untuk menyertainya.
No comments:
Post a Comment