28 August 2013

Bekas Pemimpin Puteri Tolak Dakwaan Azalina Ahli Sayap Itu Dipinggir




Beberapa bekas anggota Puteri Umno hari ini menafikan kenyataan anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendakwa Pergerakan Wanita Umno gagal mengoptimum peranan bekas anggota sayap paling muda itu apabila mereka menyertai sayap wanita. Penolong Bendahari Wanita Umno Noraslina Zainal Abidin berkata kenyataan itu tidak berasas kerana realitinya kebanyakan mereka diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan dalam sayap Wanita.

"Tidak timbul langsung isu bahawa bekas anggota Puteri Umno tidak diberi tempat dalam arus politik negara. Bukan hanya saya, beberapa rakan bekas anggota Puteri Umno juga sekarang ini memegang tampuk kepimpinan di peringkat Wanita Umno cawangan dan bahagian malah ada juga dipilih oleh perwakilan sebagai Exco Wanita Umno Malaysia," katanya.


Bekas anggota Puteri dan Ketua Puteri Umno Negeri Johor itu berkata beliau sendiri telah dipilih di peringkat bahagian selaku Ketua Wanita Umno Bahagian dan kini menyandang jawatan Penolong Bendahari Pergerakan Wanita. Pelantikan oleh Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu menggambarkan beliau bergerak seiring presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melakar transformasi politik di negara ini, katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Azalina, bekas ketua Puteri Umno, sebagai berkata bahawa peranan lebih 200,000 bekas Puteri Umno seolah-olah dipinggirkan setelah secara automatik menyertai Pergerakan Wanita sebaik mencapai umur 35 tahun. Azalina berkata keupayaan mereka yang telah dilatih seharusnya terus dipupuk bagi mengelak mereka berpaling kepada parti lain.

Beliau turut mengakui dorongan untuk memastikan kumpulan itu tidak terus disisih daripada arus politik perdana negara menjadi penggerak utama langkah beliau menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno dengan mencabar penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada pemilihan Umno Oktober depan.

Senada dengan Noraslina, Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Datuk Habibah Mohd Yusof turut tidak bersetuju bahawa tidak wujud kesinambungan apabila bekas anggota Puteri menganggotai sayap Wanita.

"Bagi saya yang penting ialah bagaimana kita bekas-bekas Puteri boleh membawa diri, kerana dari situ kita akan diterima oleh Wanita, malah mereka sendiri yang akan mengajak dan melantik kita sebagai ketua mereka kerana percaya dengan kemampuan dan bakat kita," katanya.

Habibah yang merupakan bekas Exco Puteri ketika di bawah pimpinan Azalina, dan bekas Ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad, dilantik mengetuai Wanita bahagian Tanjung Karang sebaik sahaja beliau menyertai pergerakan Wanita lima tahun lepas.

"Soal perjuangan dan sumbangan kepada parti tidak semestinya berdasarkan jawatan, bila saya dalam Wanita sejak 2008, saya lihat Wanita sangat terbuka, mereka sendiri meminta saya bertanding jawatan Exco untuk mewakili Wanita (Umno) Selangor," katanya.

Habibah yang juga Bendahari Wanita Umno Selangor berkata beliau sangat berpuas hati dengan kepimpinan Shahrizat yang tidak meminggirkan dan mengenepikan setiap anggotanya selain sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada anggota baharu.

Penolong Bendahari Wanita Kelantan Zarina Md Eusope pula berkata isu dipinggirkan tidak timbul kerana kedua-dua sayap berjuang di bawah lambang yang sama iaitu Umno. Bekas Exco Puteri Kelantan yang kini diberi kepercayaan untuk menerajui Pergerakan Wanita Pengkalan Chepa, Kota Baharu dan biro politik Wanita negeri itu turut menegaskan Shahrizat sebagai tonggak Pergerakan Wanita sentiasa mengalu-alukan kemasukan bekas anggota Puteri dalam sayap pergerakan itu.

Sementara itu di PAPAR, Sabah, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyatakan keyakinannnya Shahrizat mampu mempertahankan jawatan yang disandangnya meskipun berdepan dengan Azalina pada pemilihan parti kelak. Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata situasi semasa menunjukkan sokongan padu semua kepimpinan dan akar umbi Wanita Umno terhadap Shahrizat.

"Beliau (Shahrizat) dilihat mampu mendapat sokongan padu daripada kepimpinan Wanita UMNO sama ada di peringkat negeri atau bahagian kerana sepanjang menerajui sayap pergerakan itu, kredibilitinya sebagai pemimpin berjaya mengangkat imej wanita di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS hari ini.

Di MELAKA, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Idris Haron berkata pergerakan Wanita Umno di bawah Shahrizat telah mempamerkan prestasi yang membawa kejayaan kepada Umno pada pilihan raya umum ke-13 lepas. Ketua Menteri Melaka itu berkata walaupun Shahrizat mengalami pelbagai ujian yang hebat, namun Ketua Wanita itu masih kekal bersama pergerakan itu dan membantu parti dalam PRU13.

Anggota pergerakan itu perlu membuat pilihan yang tepat pada pemilihan parti Oktober depan bagi memastikan Wanita Umno terus membantu parti, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Pergerakan Wanita Umno Melaka yang turut dihadiri Shahrizat.

Pada majlis itu, kira-kira 100 anggota Wanita Umno Melaka melafazkan ikrar diketuai Idris untuk menyokong Shahrizat kekal sebagai Ketua Wanita Umno. Sementara itu, Shahrizat menafikan pergerakan itu menyisihkan bekas anggota Puteri Umno daripada arus politik perdana negara sebaliknya menerima kehadiran mereka dengan baik dan berhemah.

Malah, katanya, anggota Puteri Umno yang layak turut diberikan jawatan tertinggi dalam pergerakan itu.

Semasa saya ambil alih kepimpinan Wanita, saya membuat keputusan kita mesti rapatkan perhubungan Ketua Wanita dengan Ketua Puteri di semua bahagian. Saya nak tentukan ada kesinambungan yang cantik, sebab itu saya lantik Noraslina Zainal Abidin, (bekas) Ketua Puteri Johor selaku bendahari Wanita Umno, iaitu jawatan tinggi dalam Wanita," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...