Beberapa bekas anggota Puteri Umno hari ini
menafikan kenyataan anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said
yang mendakwa Pergerakan Wanita Umno gagal mengoptimum peranan bekas anggota
sayap paling muda itu apabila mereka menyertai sayap wanita. Penolong Bendahari
Wanita Umno Noraslina Zainal Abidin berkata kenyataan itu tidak berasas kerana
realitinya kebanyakan mereka diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan dalam
sayap Wanita.
"Tidak timbul langsung isu bahawa bekas
anggota Puteri Umno tidak diberi tempat dalam arus politik negara. Bukan hanya
saya, beberapa rakan bekas anggota Puteri Umno juga sekarang ini memegang
tampuk kepimpinan di peringkat Wanita Umno cawangan dan bahagian malah ada juga
dipilih oleh perwakilan sebagai Exco Wanita Umno Malaysia," katanya.