Ahad lalu, akhbar
Mingguan Malaysia menyiarkan kenyataan dua pemimpin iaitu bekas Presiden UMNO
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak. Biar pun
nada berbeza namun sasaran pesanan adalah sama iaitu kepada ahli-ahli UMNO
supaya mereka menyayangi parti yang menjadi tonggak orang Melayu itu.
Najib berpesan agar
ahli UMNO perlu meletakkan prinsip kekeluargaan sebagai asas yang kukuh pada
pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi. Presiden UMNO
itu berkata, menerusi asas tersebut, UMNO akan terus mampu untuk menghadapi
cabaran mendatang. Dr. Mahathir pula dalam tulisan bertajuk 'Pesanan untuk
UMNO', mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak mengharapkan balasan ketika
berjuang dalam parti itu.
Kata Dr. Mahathir,
''Janganlah mengeluh kerana kononnya tak dapat apa-apa pun setelah menyokong
UMNO begitu lama. Sesungguhnya mereka yang tahu bersyukur, Allah berjanji akan
memberi lebih banyak nikmat. Insya-Allah, masa depan akan memperlihatkan giliran
orang lain pula, mungkin giliran anak cucu kita jika pemerintahan oleh UMNO
dapat diteruskan.''
Sememangnya, pesanan
kedua-dua pemimpin amat penting apabila ahli-ahli UMNO akan membuat keputusan
siapakah yang bakal bersama-sama Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengharungi bahtera perjuangan parti keramat tersebut. Malahan sebelum
ini Muhyiddin juga sudah berpesan bahawa pemilihan UMNO Oktober ini berperanan
sebagai pemudah cara untuk parti mengenal pasti individu yang benar-benar
berminat menggalas tanggungjawab kepada rakyat.
Tegas Muhyiddin,
peluang dan ruang harus diberikan kepada calon yang berkebolehan memberi
khidmat kepada rakyat secara berkesan agar parti diterima masyarakat. Sesungguhnya
demokrasi membenarkan sesiapa sahaja bertanding, demokrasi memberi hak kepada
ahli-ahli sesebuah parti menentukan siapa yang mereka mahu dan sudah pasti
demokrasi juga mengizinkan mereka bersuara menyatakan pendirian.
Tetapi dalam membuat
keputusan terutamanya menawarkan diri untuk bertanding, ukurlah baju di badan
sendiri dan fikirkanlah kesannya sama ada penyertaan kita mampu menguatkan
parti atau melemahkan parti. UMNO bukanlah lagi sebuah parti yang berupaya
untuk menampung mana-mana pemimpin yang bertanding semata-mata untuk
mempertahankan kedudukan politik dan kepentingan peribadinya.
Sebaliknya, UMNO
memerlukan satu kekuatan melalui barisan kepimpinan yang ampuh bagi bertarung
mempertahankan tampuk kekuasaan dalam arena politik negara. Cabaran UMNO bukan
sedikit, pakatan pembangkang semakin ghairah mahu merebut kuasa daripada parti
itu yang menjadi tonggak kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sebarang tindakan
yang bertujuan melemahkan UMNO tidak boleh diizinkan khususnya oleh pemimpin
yang merasakan diri mereka layak untuk menjadi antara barisan kepimpinan utama
UMNO. Tidak kira sama ada di peringkat cawangan, bahagian, Majlis Tertinggi
mahupun sayap, UMNO perlu diperkuatkan oleh barisan kepimpinan yang benar-benar
ampuh.
Kalaulah di peringkat
cawangan dan bahagian, pemimpin sedia sudah cukup mantap maka tidak usahlah
mana-mana pemimpin lain hendak 'gatal tangan' mahu merebutnya, tetapi dalam
masa yang sama pemimpin di kedua-dua peringkat itu yang merasakan sudah tidak
mampu memberi sumbangan kepada parti maka berundurlah secara terhormat.
Begitu juga di
peringkat kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri. Jika pemimpin sedia ada sudah
cukup baik, kenapakah perlu hendak diganggu gugat lagi. Mungkin ada sedikit
sebanyak kelemahan tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menggantikan pemimpin
tersebut.
Kecualilah jika sudah
sampai had umur yang ditetapkan maka tidak salah jika ada yang menawarkan diri,
itu pun orang yang menawarkan diri tersebut perlu mencerminkan diri mampukah
dia membawa panji-panji perjuangan parti dalam suasana politik yang getir sekarang.
Atas semangat inilah,
kita berasa sedikit lega apabila semakin ramai pemimpin-pemimpin kanan UMNO
mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan kali ini. Ada antara mereka
secara terus terang menyatakan mahu memberi laluan kepada muka baru memikul
tanggungjawab bagi memperkasakan parti.
Inilah semangat yang
diharapkan ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, bukannya semangat begitu
ghairah hendak bertanding sehingga awal-awal lagi mewujudkan 'tagline' yang
secara tersiratnya mahu memperlekehkan penyandang sedia ada.
Sebab itulah, dalam
soal ini semua ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu membuat keputusan secara
matang, berfikir dengan waras dan tidak dipengaruhi oleh sebarang sentimen
apabila mahu memilih pemimpin. Pesanan Najib dan Dr. Mahathir serta
pemimpin-pemimpin kanan lain dalam soal pemilihan kali ini jangan dipandang
sepi. Cukup-cukuplah dulu ada dalam kalangan mereka yang mengingkari baiah
ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu.
Kali ini, UMNO
benar-benar menuntut ketelusan dan keikhlasan ahli-ahlinya untuk memastikan
pemilihan yang diadakan tidak membawa 'petaka' kepada parti. Janganlah lagi
membuat perangai lama dengan begitu mudah terpengaruh dengan tawaran atau
habuan apatah lagi fitnah kerana pemilihan kali ini teramat penting bagi mewujudkan
'barisan perang' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pilihan raya umum itu
adalah penentu kepada hidup mati UMNO dan BN. Apa yang berlaku dalam PRU-13
harus dijadikan pengajaran bagaimana ghairah pembangkang hendak meranapkan
kekuasaan BN. Justeru kalaulah ahli-ahli UMNO masih lagi dengan perangai lama
tidak mahu berubah sikap dan menganggap parti itu masih kuat, percayalah mereka
mampu mengundang petaka kepada UMNO.
Oleh itu pesanan
Najib, Muhyiddin dan Dr.Mahathir serta pemimpin-pemimpin kanan UMNO lain harus
dihayati dengan sebaik-baiknya. Memang benar demokrasi memberi hak kepada ahli
UMNO untuk memilih siapa yang mereka suka untuk menjadi pemimpin tetapi
pilihlah pemimpin berkualiti dan bernilai tinggi untuk bersama-sama dalam kepimpinan
parti.
Percayalah sama ada
UMNO akan terus dihormati dan disegani bukanlah terletak di tangan rakyat
menentukannya tetapi oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Ia memandangkan rakyat
khususnya orang Melayu sudah pandai menilai kredibiliti dan keupayaan seseorang
pemimpin itu. Oleh itu jangan sia-sia perjalanan pemilihan kali ini, sama ada
UMNO akan berdiri gagah atau tidak, terus berkuasa atau tidak segala-galanya
terletak di tangan 150,000 ahlinya yang akan diberi hak membuat pilihan.
Sesungguhnya UMNO
tetap menjadi harapan orang Melayu bagi membela nasib mereka dan terus
mempertahankan martabat umat Islam di negara ini, justeru jangan kecewakan
mereka.
No comments:
Post a Comment