Sudah lama tidak
mendengar sebarang berita mengenai aktor Aeril Zafrel. Kali terakhir berita
tentangnya hangat diperkatakan selepas dia secara terbuka memberitahu dirinya
sedang mendalami ilmu agama. Sejak itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil
Sunari bagai hilang seketika daripada direktori dunia hiburan.
Namun dalam diam,
Aeril telah terlibat dengan sebuah filem Hollywood lakonan bersama aktres
Christina Ricci. Tahun depan dia bakal mengembangkan sayap seni ke Indonesia
menerusi filem Islamik berjudul Sabda Kekasih. Terbaharu, peminat boleh menatap
wajahnya saban hari menerusi drama bersiri Cinta Jannah di TV3.
"Saya akui,
sejak keluar daripada pengurusan MIG, saya agak senyap tetapi bukan bermakna
saya sudah tidak berminat dengan lakonan. Sebaliknya, saya masih sibuk dengan
lakonan. Cuma, jadual saya tidak sepadat dahulu kerana kini saya lebih selektif
memilih karya," ujarnya.
Tegas anak muda
berusia 25 tahun itu, kini matlamatnya terhadap dunia lakonan agak berbeza
sejak mendalami agama kerana karya yang dipilih haruslah memberi kesan positif
pada penonton dan dirinya sendiri.
"Kalau dahulu
saya pernah mengambil dua tawaran dalam satu masa, kononnya untuk meraih
pendapatan yang lebih akhirnya memakan diri kerana tidak mampu membahagikan
masa.
"Saya belajar
daripada kesilapan dan sekarang saya hanya mengambil satu tawaran dalam satu
masa supaya saya ada masa untuk mengkaji watak yang diberikan. Bukan itu
sahaja, tawaran yang dipilih harus memberi kesan yang bermanfaat kepada
penonton serta diri saya sendiri," katanya.
Tambahnya, setiap
karya yang datang diteliti terlebih dahulu dan andai pihak produksi boleh
mengikut peraturannya barulah dia akan bersetuju dengan tawaran tersebut.
"Saya bukan
diva. Sebaliknya, saya tidak mahu adegan-adegan yang keterlaluan dengan pelakon
wanita. Selepas menyatakan perubahannya kepada pihak media, pihak produksi
tidak teragak-agak memberi tawaran kerana mereka sudah tahu pantang larangnya.
"Setakat hari
ini, semua tawaran yang datang tidak ada sebarang masalah. Walaupun saya sudah
berubah tetapi tidaklah terlalu ekstrem. Saya tidak meletakkan sebarang had
dalam pemilihan watak kerana saya masih melakonkan karakter yang
pelbagai," jawabnya.
Masih
Aeril yang sama
Walaupun setiap hari
Jumaat dia akan berjumpa guru agamanya di Masjid Muadz Bin Jabal di
Setiawangsa, Kuala Lumpur, Aeril menjelaskan, perubahan dirinya tidak menjejaskan
kehidupan sosialnya.
"Saya masih
Aeril yang sama, saya memang suka bersendiri dan tidak ramai rakan daripada
kalangan artis. Saya juga jarang-jarang hadiri majlis hiburan. Cuma saya cukup
rapat dengan Ellie Suriati dan suaminya, Azri Iskandar. Mereka ibarat mentor
saya dalam dunia lakonan.
"Selebihnya,
selesai sahaja penggambaran, saya akan pulang ke rumah. Rakan-rakan lama saya
masih berhubung tetapi kami hanya jumpa jika ada hal yang penting. Bukan tidak
mahu tetapi sekarang masing-masing sudah mempunyai komitmen kerjaya,"
tuturnya.
Katanya, tidak
semestinya dirinya semakin dekat dengan agama dia harus meninggalkan bidang
seni walhal ia merupakan periuk nasi utamanya sehingga hari ini.
"Saya tidak
pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana saya cukup minat dengan
seni lakonan. Bagi saya, pendapatan berlakon agak lumayan berbanding pengalaman
saya bekerja di bidang yang lain sebelum ini.
"Pada masa akan
datang saya tidak tahulah bagaimana perjalanan yang diaturkan Allah untuk saya
tetapi sampai hari ini fokus saya hanya pada lakonan kerana saya tidak
mempunyai pekerjaan yang lain," terang anak kelahiran Batu Pahat, Johor
itu.
Bahkan, bakat Aeril
sudah pun diperakui sehingga ke Hollywood dan dia bakal ke Indonesia pada tahun
hadapan bersama produksi dari seberang.
"Alhamdulillah,
mungkin sudah rezeki. Selepas filem Hollywood, pada awal tahun depan saya akan
terlibat dengan sebuah filem islamik Indonesia berjudul Sabda Kekasih.
"Saya
difahamkan, semua pelakon yang terlibat merupakan tenaga lakonan daripada filem
Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih. Mungkin filem ini merupakan batu loncatan
untuk melebarkan kerjaya lakonan saya di sana. Doakan yang terbaik untuk
saya," ucapnya.
Paksa
diri
Mungkin ramai yang
beranggapan Aeril lebih mendekatkan diri dengan agama selepas mendapat hidayah.
Bagaimanapun, tegas Aeril, dia yang memaksa dirinya untuk berubah ke arah yang
lebih baik.
"Saya tidak tahu
apa pandangan orang terhadap saya tetapi saya cuba dan paksa diri saya berubah
untuk menjadi Aeril hari ini dan lebih baik pada masa akan datang.
"Jika hendak
tunggu diri saya memperoleh hidayah Allah tidak tahu bila atau mungkin tidak
akan dapat sampai bila-bila. Jadi, saya harus jentik hati saya sendiri untuk
berubah," akuinya.
Jelasnya, mungkin ada
orang yang tidak senang dengan perubahannya yang masih kekal berlakon walaupun
sudah semakin dekat dengan agama tetapi sebagai anak seni, Aeril mempunyai
pendiriannya tersendiri.
"Lain orang,
lain caranya. Bagi saya, sebagai artis saya cuba untuk memberi contoh yang
terbaik buat penonton dan peminat saya. Kalau ada yang tidak suka, saya tidak
boleh berbuat apa-apa kerana lain orang lain pendapatnya.
"Sukar untuk
saya memuaskan hati semua orang. Selagi niat saya ke arah yang positif, saya
akan terus terlibat dalam lakonan sehingga saya bertemu dengan suatu bidang
lain yang lebih sesuai," bicaranya panjang lebar.
No comments:
Post a Comment