13 September 2013

Pemangku Raja Perak Titah, Tolak Mereka Yang Sanjung Penjenayah



Pemimpin pembangkang antara yang paling HEBAT MEMBELA penjenayah
Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat supaya menolak nilai songsang yang menyanjung penjenayah sebagai wira dan menganggap tindakan pasukan keselamatan membanteras jenayah sebagai zalim.

Baginda bertitah jika diterima, nilai songsang itu akan menggalakkan banyak pihak untuk lebih berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar pihak berkuasa, bertindak ganas serta terus melakukan jenayah menurutkan hawa nafsu.

"Para penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai wira," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-184 di sini, hari ini.


Sebaliknya, titah baginda moral anggota polis yang menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri wajib dipertahankan dan diberi sokongan padu oleh setiap rakyat yang mahukan keamanan. Raja Nazrin bertitah berdasarkan laporan akhbar, kejadian jenayah berat terutamanya jenayah bunuh semakin menjadi-jadi di negara ini.

"Jenayah bunuh bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku     malah dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, anak kecil dan dalam rumah ibadat," titah baginda.

Baginda bertitah perbuatan sekejam, seganas dan ngeri sedemikian, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta melakukan provokasi mencabar penguatkuasa undang-undang.

"Jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang. Jenayah semakin berani dilakukan jika penjenayah beranggapan bahawa mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan, mudah bebas daripada dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang ringan," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu, usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif di mana rakyat perlu turut sama memainkan peranan membantu polis.

"Jawatankuasa masjid dan surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung perlu tampil membantu polis dalam tugas-tugas kawalan serta menyampaikan maklumat keselamatan dan perlakuan jenayah kepada pihak polis dari semasa ke semasa.

"Dalam kawasan-kawasan yang dianggap kritikal, program pengawalan oleh pihak awam mungkin perlu difikirkan dan diperkenalkan, agar tugas polis dapat diringankan," titah baginda.

Baginda juga menegaskan bahawa jenayah tidak boleh dikaitkan dengan faktor kaum atau motif politik kepartian.

"Penjenayah adalah penjenayah, penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian," titah baginda.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...