Seorang remaja
perempuan yang bertudung litup rela menyerahkan diri dipeluk teman lelakinya
sementara seorang rakan perempuannya yang duduk bersebelah hanya mampu
memandang tanpa menegur kelakuan rakannya. Perbuatan tidak bermoral remaja
berkenaan dapat dilihat ketika operasi maksiat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau
Pinang (JAINPP) di tepi sebuah pantai di sini.
Ketika dipandang
sekali imbas, kelihatan dari jauh remaja lelaki berusia lingkungan awal 20-an
itu ibarat sedang mendodoi kanak-kanak kecil. Namun setelah didekati penguatkuasa,
rupa-rupanya yang dipeluk adalah kekasih hatinya. Apa yang lebih memalukan
apabila rakan perempuannya yang berada di sebelah kelihatan selamba saja
langsung tidak menegur perbuatan sahabatnya itu.
Ketika disapa JAINPP
kedua-duanya terkedu sementara seorang lagi rakan hanya mampu memandang dalam
keadaan keliru. Kedua-duanya yang masih menuntut di sebuah pusat pengajian
mengakui hanya keluar untuk berjumpa bersama rakan-rakan.
“Saya hanya berbual
saja, kami tidak buat apa-apa ustaz,” kata remaja wanita berkenaan yang berasal
dari Bukit Mertajam.
Penguatkuasa JAINPP
juga menasihatkan remaja perempuan tersebut supaya lebih menjaga maruah diri
kerana masih belum berkahwin.
“Kamu belum berkahwin
tapi sudah menyerahkan diri untuk sesuka hati dipegang dia (teman lelaki), kamu
kena jaga maruah diri. Kalau berkahwin nanti apa lagi yang tinggal,” nasihat
penguatkuasa berkenaan.
Akibatnya
kedua-duanya dikenakan saman mengikut Seksyen 29 atas kesalahan berkelakuan
tidak sopan di tempat awam. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda
RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
"Kenapa ambil
gambar kami, untuk apa ambil gambar?," jerkah seorang remaja berusia 24
tahun ketika wartawan Sinar Harian mengambil gambarnya.
Dia juga dikenakan
notis akibat berkelakuan tidak sopan dan didapati duduk di celah paha teman
lelakinya ketika berkelah bersama dua lagi rakan yang lain. Sama seperti
pasangan sebelumnya, dua lagi rakannya yang juga belum berkahwin hanya melihat
tindakan remaja berkenaan bermesra dengan teman lelakinya tanpa segan silu.
Namun setelah diserbu
JAINPP ketika sedang seronok berkelah, barulah kesemuanya menggelabah.
“Kami bukan buat
apa-apa pun, salah ke kami duduk macam ini,” jerit remaja perempuan itu sekali
lagi.
Ketua Operasi dan
Penguatkuasaan JAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya akan terus
mengadakan operasi sepanjang masa dan bukan sahaja memfokuskan pada hari-hari
tertentu.
Ia berikutan ada yang
beranggapan JAINPP hanya melaksanakan operasi maksiat ketika hari-hari istimewa
antaranya, malam merdeka, malam tahun baru dan hari kekasih.
“Sangkaan berkenaan
silap kerana operasi kami tetap dijalankan setiap hari dan memantau perlakuan
maksiat oleh umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.
No comments:
Post a Comment