12 September 2013

Tong Gas Meletup, Enam Parah




Enam pekerja warga Myanmar cedera parah apabila 15 daripada 300 tong gas di sebuah stor bangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan Perindustrian Parit Bakar Darat, di sini meletup malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 malam itu, kesemua mangsa berusia 30-an dipercayai sedang melakukan kerja pemindahan gas memasak secara haram daripada tong 14 kilogram ke tong 50 kilogram di premis yang menempatkan 300 tong gas tersebut apabila ia tiba-tiba meletup.


Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 8.52 malam, 18 anggota berserta dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Apabila tiba, api telah marak dan mula merebak ke bangunan kedua dan pihak bomba terpaksa memadam kabakaran dengan menggunakan kaedah penyejukan bagi memastikan tong gas lain tidak meletup.

"Kita juga terpaksa menutup kawasan perindustrian tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini semasa operasi pemadaman dilakukan dan akhirnya api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 10.50 malam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kesemua mangsa dibawa dengan menggunakan tiga ambulans ke  Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada kebocoran gas sebelum berlaku percikan api menyebabkan berlakunya letupan dan kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM300,000.

Siasatan juga mendapati keenam-enam warga asing tersebut tinggal dalam stor berkenaan, namun pemilik premis itu gagal dikenal pasti berikutan aktiviti tersebut dijalankan secara tertutup.

Sementara itu, Pengarah HPSF Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kesemua mangsa berada dalam keadaan kritikal kerana lebih 50 peratus tubuh mereka melecur dengan teruk.

"Mereka kini ditempatkan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) HPSF. Kita tidak mempunyai sebarang butiran lanjut mengenai mereka kerana sehingga kini masih tidak menerima sebarang dokumen daripada pihak majikan," katanya kepada pemberita di sini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...