Jika orang lain sedih
kerana kematian ibu, seorang lelaki di Reno pula menyanyi kegirangan dan
menulis obituari yang kejam untuk memperingati wanita itu. Patrick Reddick, 58,
berkata, dia tersenyum dan berasa sangat lega apabila mendapat tahu ibunya,
Marianne Theresa Johnson-Reddick, 78, meninggal dunia pada 30 Ogos lalu. Ketika
terlantar di katil hospital di hari-hari terakhir hidup Marianne, Reddick pergi
melawat ibunya.
Bagaimanapun, sebelum
tiba dia meminta doktor memberikan ubat pelali kepada wanita terbabit dan dia
pula berkaca mata mengelak daripada dikenali ibunya. Kata Reddick, apabila
menyedari bahawa ibunya sudah tiada lagi di dunia ini, dia dapat tidur dengan
lena kerana ketakutannya selama ini benar-benar berakhir.
Reddick dan
adik-adiknya mendakwa menjadi mangsa deraan dan teruk diseksa Marianne satu
ketika dulu. Kini mereka bercadang untuk meraikan kematian wanita itu akhir
bulan ini. Bersama adiknya, Katherine, 57, Reddick menempah obituari di akhbar
dan disiarkan Reno Gazette-Journal pada 10 September lalu.
Penggunaan kata-kata
kesat itu mendapat perhatian ramai dan beredar di Internet. Reddick dan
Katherine mendakwa sering dipukul Marianne selain dipaksa tidur di atas lantai
ketika dia sibuk menjalankan bisnes pelacuran di rumah. “Kami adik-beradik
diburu ketakutan sejak detik kami dilahirkan,” katanya.
Obituari yang ditulis
untuk Marianne antaranya berbunyi: “Ibu menghabiskan hidupnya dengan menyeksa
kami selagi dia mampu. Dia tidak mempedulikan suami dan anak-anaknya, malah
enggan membenarkan orang lain bersimpati atau membantu mereka.
“Apabila kami dewasa,
dia mengintip dan menyeksa sesiapa saja yang kami sayangi. Setiap orang yang
bertemu dengannya sama ada dewasa atau kanak-kanak diseksa dengan kejam dan
mereka turut menjadi mangsa keganasan, kekerasan dan kebencian. “Kini kami
dapat hidup dengan aman setelah mengetahui bahawa mimpi ngeri kami berakhir.”
No comments:
Post a Comment