29 September 2013

Kenapa Agungkan Chin Peng Yang Dah MAMPOS




Umum sudah tahu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, mati di Bangkok 16 September lalu. Namun matinya bukan sebagai 'harimau mati meninggalkan belang' tetapi sebagai pengkhianat yang melakukan pelbagai kezaliman dan penderitaan kepada rakyat dan negara ini.

Chin Peng kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Namun kematiannya tidak dapat memadam parut-parut luka yang terpahat dalam sanubari rakyat negara ini. Parut-parut luka ini akan terus menjadi ingatan ngeri rakyat yang banyak menderita dan terkorban akibat kekejaman komunis, khususnya anggota pasukan keselamatan.

Tiada apa ingatan baik untuk Chin Peng atau PKM. Justeru saya hairan apabila ada akhbar di negara ini yang membesar-besarkan berita kematian Chin Peng seolah-olah dia bagaikan tokoh negara. Tidak kurang juga portal berita yang mengambil pendekatan sama.

Ada akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan kematiannya secara besar-besaran di muka depan. Gambarnya besar terpampang seolah-olah Chin Peng wira yang disanjung.

Dalam ingatan saya, sewaktu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim, mati ditembak oleh komunis di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 gambarnya tidaklah terpampang besar memenuhi ruang akhbar sedangkan Allahyarham mati demi tugas untuk negara.

Begitu juga apabila Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong, mati ditembak oleh komunis di Ipoh pada 13 November 1975, gambarnya tidaklah tersiar besar sedangkan mendiang mati ketika berkhidmat untuk negara. Begitu juga dengan pemandu Khoo, Sarjan Yeong Peng Chong yang juga maut ditembak pengganas komunis tersebut.

Namun akbar berbahasa China yag dimaksudkan ini nampaknya begitu simpati dengan kematian Chin Peng sehingga gambar dan berita kematiannya disiarkan secara besar-besaran.

Selain itu sebuah akhar berbahasa Inggeris yang popular juga nampaknya begitu simpati dengan kematian Chin Peng. Berita kematiannya disiarkan secara besar-besaran oleh akhbar itu yang saya perhatikan selama ini memang selalu mengambil pendekatan daripada perspektif negatif terhadap isu-isu tertentu.

Akhbar berkenaan menyiarkan tinjauan, khasnya daripada kaum tertentu dan pemimpin pembangkang yang mahu kerajaan membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia. Mereka menyuarakan desakan ini walaupun kerajaan telah bertegas menyatakan tidak akan membenarkan mayat atau abu pengganas itu dibawa pulang.

Apakah akhbar itu sudah hilang pertimbangan mahu mendesak kerajaan menurut kemahuan kelompok tertentu yang simpati dengan Chin Peng? Apakah ia mahu popular atau mempunyai agenda jahat yang tersembunyi?

Hakikatnya Chin Peng bukan lagi warga negara Malaysia. Amat mudah bagi seorang pemimpin pembangkang menyebut 'yang lalu biarkan berlalu' sebagai justifikasi mahu membawa balik mayat atau abu Chin Peng. Malah ada pula kerabat diraja dan anggota parti komponen Barisan Nasional yang turut mempertikaikan langkah kerajaan ini.

Soalnya, begitu mudahkah untuk melupakan segala kekejaman yang dilakukan oleh Chin Peng dan suku sakatnya? Semudah itukah untuk memberi maaf? Bolehkan dipadam begitu sahaja semua parut penderitaan angkara kekejaman komunis?

Untuk apa mereka ini mahu kerajaan membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa ke Malaysia? Agar kerajaan menjadi popular? Adakah mereka fikir kerajaan mahu berbuat demikian, satu tindakan yang akan menambahkan luka balu-balu, anak-anak dan saudara mara pejuang negara yang tumbang mempertahankan negara angkara komunis. Hilang akal agaknya mereka yang mendesak ini.

Chin Peng telah diberi peluang. Peluang itu ialah dalam perundingan damai di Baling pada 1955 dengan Tunku Abdul Rahman. Chin Peng enggan menyerah diri dan meninggalkan perjuangannya. Sebaliknya dia memilih kembali untuk ke hutan meneruskan perjuangan mengangkat senjata menentang kerajaan melalui perjuangan yang sia-sia.

Begitu juga semasa perjanjian damai di Bangkok antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 1989. Chin Peng diberi masa setahun untuk memohon menjadi warga negara Malaysia tetapi dia tidak berbuat demikian. Dengan itu haknya telah lupus.

Adakah sebenarnya saudara mara Chin Peng yang berharap mayat atau abunya dibawa pulang atau orang sekeliling atau pemimpin-pemimpin politik tertentu yang mencucuk mereka berhubung isu tersebut?

Namun bagi saya, dan saya percaya bagi rakyat lain di negara ini, mayat atau abu Chin Peng tidak boleh dibawa ke Malaysia. Segala tindak tanduknya memyebabkan dia tidak boleh diterima di bumi Malaysia. Inilah hakikat yang perlu difahami dan diterima oleh semua.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...