Sabtu ini, 14
September bermulalah persaingan untuk mengisi jawatan-jawatan dalam UMNO
apabila borang pendaftaran calon diedarkan. Setiap satu borang ada empat
salinan yang perlu diisi. Dengan format baharu ini, tawaran untuk bertanding
terbentang luas depan mata.
Seseorang hanya perlu
melepasi kelayakan minimum sekurang-kurangnya menjadi ahli jawatankuasa (AJK)
bahagian dalam sepenggal atau tiga tahun sahaja untuk bertanding apa sahaja
jawatan, hatta Presiden sekalipun.
Tiada lagi kuota
tertentu untuk dilepasi macam dulu, seperti Presiden (30 peratus), Timbalan
Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT (10 peratus).
Atau sebelum UMNO diharamkan pada 1988, yang mengkehendaki sesiapa yang
bertanding memerlukan dua pencalonan daripada bahagian.
Kali ini, kelayakan
itu dipermudahkan untuk memberi ruang kepada lebih ramai ahli UMNO di peringkat
bawah hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik
Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperkenalkannya.
"Dalam borang
itu, ada jawatan-jawatan yang perlu diisi untuk ditandingi...apa sahaja
jawatan, cuma perlu isi satu sahaja. Tempoh serah borang ialah pada 21
September, untuk jawatan MT termasuk Naib Presiden, Timbalan Presiden dan
Presiden perlu dihantar ke ibu pejabat oleh calon atau wakil calon dengan
disahkan menerusi sepucuk surat ditandatangani calon.
"Borang untuk
jawatan peringkat bahagian pula boleh dihantar ke pejabat perhubungan UMNO
negeri," kata Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh kepada penulis
semalam.
Pemilihan UMNO kali
ini penting untuk memastikan parti terus berdiri tegap berkhidmat kepada rakyat
sebelum mendepani Pilihan Raya Umum ke-14.
Ada pihak berkata,
kalau benar UMNO mahu perubahan, sekurang-kurangnya separuh daripada ahli MT
perlu ditukar. Benarkah? Itu terserah kepada 146,500 perwakilan UMNO di seluruh
negara.
Lusa ini, sebelum
menanda jawatan yang ingin ditandingi, fikirkanlah jawatan yang sesuai. Anda
ada seminggu untuk berbuat demikian sebelum satu jawatankuasa penilaian membuat
saringan ketat termasuk bebas dari bankrupsi, untuk persaingan muktamad pada
Oktober.
Ukurlah baju di badan
sendiri.
No comments:
Post a Comment