Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah pelan yang begitu berbeza dan
merangkumi semua aspek yang mengambil kira kepelbagaian kaum dan budaya
berbanding rancangan pendidikan yang wujud sebelum ini.
Presiden Pertubuhan
Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, oleh kerana itu, PPPM tidak wajar
lagi dipersoalkan kerana merupakan pelan pendidikan yang terbaik pernah
diwujudkan kerajaan.
"Pelan ini telah
pun dilaksanakan lapan bulan sebelum dilancarkan semalam. Apa yang saya lihat
PPPM adalah pelan yang berani kerana mengutamakan penguasaan dan kecemerlangan
bahasa Melayu dan Inggeris, di samping memperkasakan penggunaan bahasa ibunda
kaum- kaum lain," katanya.
Beliau mengulas
kenyataan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Prof. Madya Dr. Dominic Lau Hoe Chai
bahawa kaum Cina di negara ini tidak ada sebab untuk meragui keikhlasan
kerajaan dalam mengangkat sektor pendidikan berikutan pelancaran PPPM yang
mempertahankan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).
Lum Yong berkata,
kerajaan mengambil langkah yang tepat dengan mewujudkan PPPM demi pembangunan
bidang pendidikan untuk jangka masa panjang. Beliau turut menyelar sikap
sesetengah pihak termasuk pertubuhan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga
Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang tidak memahami aspirasi kerajaan
melalui PPPM.
"Saya hendak
nasihat kepada Dong Zong agar tidak lagi menakut-takutkan rakyat terutama
masyarakat Cina bahawa kerajaan akan menutup SJK. Sudah terbukti sekarang itu
bukan matlamat kerajaan.
"Saya tegaskan
terutama kepada Dong Zong, berhenti menjadi pertubuhan yang ada agenda politik.
Jadilah sebuah pertubuhan yang dihormati semua rakyat Malaysia kerana pada
hakikatnya kita ini hidup di negara berbilang bangsa tetapi sebagai satu
masyarakat," katanya.
Lum Yong berkata,
pertubuhan itu wajar melihat secara keseluruhan aspek pendidikan dan bukan
hanya dari sudut masyarakat Cina.
"Ini menjadi
masalah apabila pertubuhan ini hanya melihat dari sudut pandangan satu kaum
sahaja. Tanpa pemikiran dan pandangan luas, sudah pasti kita tidak dapat
melaksanakan banyak perkara untuk membangunkan bidang pendidikan di
Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment