10 September 2013

Kalimah Allah : Keputusan Rayuan Ditangguhkan

Antara mereka yang hadir membantah permohonan Kristian Untuk Mengunakan Kalimah Allah



Mahkamah Rayuan bertempat di Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya yang bersidang hari ini sejak jam 9 pagi tadi ditangguhkan. Difahamkan keputusan akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan ini akan diumumkan panel tiga hakim yang diketuai YA Dato Seri Mohamed Apandi  Hj Ali bersama dengan dua lagi YA Dato Abdul Aziz Abdul Rahim dan YA Dato Mohamad Zawawi Salleh.


Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik The Herald menggunakan kalimah Allah.

Gereja Katolik itu yang diketuai Tan Sri Murphy Pakiam sebelum ini telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Februari 2010 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden bagi memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.

Dalam pada itu, sebanyak 9 perayu telah mengemukakan rayuan bagi menolak kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di negara ini.

Antara perayu ialah Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri,  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Selangor dan Malaysian Chinese Muslim Association.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...