Macam-
macam reaksi diberi apabila kerajaan mengurangkan subsidi bahan bakar.
Akibatnya harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter menjadikannya
RM2.10 dan RM2. Harga petrol RON97 pula naik 15 sen menjadikannya RM2.85 sen. Kebanyakan
reaksi tentulah menghentam kerajaan. Di sebelah 'pihak sana' yang sentiasa
mencari 'silap' kerajaan, kenaikan itu seperti memberi 'bola tanggung'.
Seolah-olah
kalau mereka yang berkuasa, semuanya itu tidak akan berlaku, tidak ada
kenaikan. Demi populariti, yang wajar tidak diwajarkan. Sebaik sahaja kenaikan
itu diumumkan, macam-macam reaksi negatif diberi sama ada dalam bentuk
kata-kata, dialog bergambar, karikatur, khidmat pesanan ringkas (SMS), video
dan sebagainya.
Seorang
sahabat memberitahu, dia 'berehat' seketika daripada membaca
pelbagai reaksi yang masuk sama ada melalui SMS, WhatsApp atau Facebook. Lebih
banyak yang tumpang 'belasah' kerajaan. Mereka tidak dapat menerima langkah kerajaan mengurangkan
subsidi petrol. Jika anda bercakap apalah ada pada 20 sen itu, maka mereka akan
berkata, ''Awak tak
apalah, kaya, gaji tinggi''.
Begitulah reaksi yang diberi.
Berilah
apa alasan sekali pun, puak yang memang kerjanya membantah tidak akan menerima
dengan baik. Berilah seribu satu alasan kenaikan itu, mereka tetap tidak dapat
menerimanya termasuk alasan paling popular iaitu harga di negara kita lebih
rendah berbanding negara-negara lain termasuk dalam kalangan negara ASEAN.
Kenapa
kerajaan mengurangkan subsidi petrol ini tidak dapat diterima. Mereka sinis
apabila langkah itu dilihat sebagai 'tindakan berwawasan' dan langkah paling
tepat untuk menstrukturkan semula kaedah yang digunakan dalam memberikan
subsidi. Jika diselak kembali, sebelum ini pun berlaku naik turun harga petrol.
Tidak seperti gaji, jarang atau tidak pernah berlaku gaji diturunkan. Jika ada
pun, elaun dikurangkan.
Banyak
juga perkara lain yang naik. Harga rokok juga naik. Sebatang rokok harganya 50
sen. Kalau enam batang disedut, melebihi harga satu liter petrol. Tetapi jumlah
perokok tidak juga kurang walaupun harga naik dan rokok diisytiharkan haram. Berapa
ramai pula yang bising dengan harga satu liter air minuman (bukan air mineral)
RM2 sebotol? Tidakkah air juga diambil daripada perut bumi ini?
Menurut
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan, Ivanpal
S.Grewal, kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak
cekap dan membazir. Katanya, tujuan sebenar subsidi ini adalah untuk membantu
golongan tidak berkemampuan, dan bukan untuk mereka yang membawa Ferrari turut
menikmati bahan api yang di subsidi itu.
"Apa
yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam
membantu mereka yang memerlukan,'' katanya. Oleh itu, adalah lebih baik di
sebalik menghulurkan subsidi menyeluruh seperti subsidi besar bagi petrol dan
gas, kerajaan beralih secara berperingkat-peringkat kepada pemberian bantuan
tunai secara langsung seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mereka yang
berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Diharapkan
pengurangan subsidi bahan bakar ini akan membantu meningkatkan pula BR1M
daripada RM500 kepada jumlah lebih besar, mungkin sehingga RM1,200. Begitu juga
bantuan kepada mereka yang tidak layak mendapat BR1M. Pendek kata, biarlah
pengurangan subsidi petrol dapat dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia.
Menyelak
kembali pemberian subsidi ini, pada tahun 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1
bilion. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada
subsidi, dengan subsidi petrol mewakili 12 peratus daripada jumlah itu. Bagi
subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar adalah RM24
bilion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan. Melalui subsidi inilah,
rakyat Malaysia tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia.
Keadaan ini jauh berbeza dengan rakan-rakan di negara lain.
Di
sebalik 'amat terasa' dengan kenaikan harga petrol ini, ramai yang seolah-olah
terlupa atau memang terlupa subsidi pelbagai barangan keperluan harian lain
yang sedang dinikmati sekarang. Adakah jumlah pengguna petrol ini lebih besar
jumlahnya berbanding barang keperluan harian? Sudah tentulah pengguna barang
keperluan harian yang menikmati pelbagai subsidi mempunyai jumlah lebih ramai.
Tidak
semua orang mempunyai motosikal atau kereta. Tidak semua yang ada motosikal
atau kereta akan menggunakan kenderaan itu untuk terus ke tempat kerja. Mereka
mungkin menggunakan pengangkutan awam seperti komuter, LRT, monorel atau bas
sama ada untuk mengelakkan kesesakan, menjimatkan tol, petrol dan bayaran letak
kereta (parkir). Bagi pengguna komuter yang berpendapatan RM3,000 ke bawah pula
berpeluang menikmati diskaun 50 peratus tambang.
Ada
pula yang lebih gemar menggunakan kereta ke pejabat walaupun terpaksa menempuh
kesesakan dan membayar kos lain. Malahan jika boleh mereka mahu meletakkan
kereta betul-betul di depan pejabat kerana tidak mahu berjalan kaki atau
menaiki tangga. Mungkinkah tabiat ini juga menyumbang kepada 8.5 juta orang
gemuk di negara ini? Selain terlebih makan, sudah tentu mereka kurang inisiatif
untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Berkaitan
isu ini, adakah kerajaan wajar mengurangkan subsidi makanan harian? Pastinya
tindakan itu mengundang kenaikan harga barang.
Untuk
tempoh sekarang, kerajaan perlu memastikan kenaikan harga petrol tidak
mendorong peniaga menaikkan harga barang yang tidak masuk akal. Begitu juga,
usaha kerajaan untuk memastikan sistem pengangkutan awam lebih cekap bagi
membantu rakyat menjimatkan kos ke pejabat. Sistem yang ada tidak mempunyai
rangkaian sokongan yang betul-betul dapat membantu menjimatkan kos. Pengguna
terpaksa menghidupkan enjin kereta dari rumah ke stesen LRT, komuter atau
monorel. Begitu juga sebaliknya dari stesen ke pejabat. Tempoh perkhidmatan pengangkutan
awam juga perlu dikaji.
Berkaitan
kenaikan harga petrol dan jumlah rakyat Malaysia yang gemuk, video yang muncul
berikutan kenaikan harga petrol turut menarik perhatian. Video ini
menggambarkan bagaimana di sebuah bandar, jalan raya lengang dengan kenderaan
tetapi dipenuhi manusia yang berjalan kaki dan berlari-lari anak, seperti
pergerakan kenderaan. Mereka adalah pekerja dan kanak-kanak yang mahu ke tempat
kerja dan sekolah. Mereka ini turut mematuhi lampu isyarat. Lakonan ini lebih
menarik dengan aksi mereka membawa lampu suluh pada waktu malam dan bergerak
seperti kenderaan pulang ke rumah masing-masing.
Begitulah
kreatifnya idea untuk mengaitkan 'keluhan' berikutan kenaikan
harga petrol. Adakah anda sanggup meniru aksi ini - berjalan kaki atau
berlari-lari anak ke tempat kerja bagi mengurangkan kos petrol dan mengelakkan
kegemukan?
No comments:
Post a Comment