Mungkin Ini Juga Antara Jalan Penyelesaian Untuk Hadapi Kenaikan Harga Minyak |
Kenaikan
harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini seharusnya menyedarkan rakyat
Malaysia mengenai betapa pentingnya mengamalkan perbelanjaan berhemah.
Daripada
merungut dan membuat aksi 'flash mob' untuk membantah
tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan disel sebanyak 20 sen dan RON95
sebanyak 15 sen, lebih elok rakyat berfikiran positif dan pro-aktif bagaimana
hendak membuat 'adjustment' atau penyesuaian kepada gaya hidup mereka.
Pembangkang
akan melihat isu ini sebagai modal politik
mereka untuk menyerang kerajaan. Pembangkang hanya tahu satu perkara
sahaja untuk mengurus kewangan negara, sama ada menurunkan harga barangan atau
menghapuskan sama sekali seperti dalam kes pinjaman pendidikan PTPTN.
Memang
senang untuk menurunkan harga barangan keperluan seperti minyak, gula, minyak
masak, tepung dan sebagainya untuk mendapat populariti politik tetapi apakah
sudah difikirkan implikasinya kepada ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan
pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengamalkan dasar
pengurusan kewangan negara yang seimbang.
Dalam
pada kerajaan menjalankan program-program pembangunan negara bagi mencapai
objektif pendapatan tinggi menjelang tahun 2015 serta visi status negara
membangun pada 2020, kerajaan juga prihatin terhadap dasar sosial yang kukuh
bagi kesejahteraan negara.
Ini
bermakna kerajaan harus mencari perseimbangan bagi pembangunan negara dalam
semua aspek - pendidikan, sosial, kesihatan dan lain-lain lagi. Wang yang
mencukupi harus ada bukan sahaja untuk membuat jalan raya di bandar dan kawasan
pendalaman tetapi juga menyediakan dana bagi membangun perkhidmatan sosial dan
kesihatan bagi rakyat yang bertaraf antarabangsa.
Kenaikan
harga bahan api akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dari segi subsidi
sebanyak RM1.1 bilion setahun. Wang yang dijimatkan pula boleh diagih dan
disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih kritikal seperti pembinaan sekolah,
klinik hospital, jalan raya dan sebagainya.
Kenaikan
harga barangan tidak boleh dielakkan kerana harga produk atau perkhidmatan
bukanlah sesuatu yang statik atau kaku. Rakyat tidak boleh mengharapkan harga
petrol atau rumah sebagaimana ianya dijual 20 atau 30 tahun dahulu. Zaman
berubah, negara semakin maju dan harga semakin meningkat.
Selain
faktor permintaan dalam pasaran domestik, harga juga dipengaruhi oleh faktor
luaran seperti iklim ekonomi dunia. Ini kerana bukan semua produk yang
dikilangkan di negara ini menggunakan bahan mentah yang dihasilkan oleh
pengeluar tempatan.
Kebanyakan
produk atau barangan masih memerlukan bahan mentah yang perlu diimport dari
luar negara. Harga bahan mentah ini pula bukan ditentukan oleh pengusaha
tempatan tetapi oleh pengeluar di negara ia di eksport.
Jika
harga bahan mentah yang diimport mahal dan di luar kawalan tempatan maka
barangan yang dihasilkan juga akan turut menerima kesan kenaikan harga. Ini
adalah satu realiti yang harus difahami oleh rakyat dan bukannya termakan
dengan dakyah pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
Daripada
berbelanja besar untuk makan luar di restoran atau di gerai saban hari, apa
kata suri rumah lebih menekankan kepada 'home cooked meal'
atau masakan di rumah kerana ia lebih menjimatkan malah lebih sihat.
Kalau
selalu beli makanan di restoran atau gerai, kemungkinan besar lambat laun akan
mendapat penyakit kronik seperti masalah jantung, kencing manis, kerosakan
ginjal dan lain-lain masalah kesihatan.
Ini
kerana masakan gerai atau restoran menggunakan garam dan serbuk perasa atau 'MSG' yang berlebihan dan
seringkali tahap kebersihan premis dan juga cara pembikinan makanan diragui.
Mungkin
juga rakyat Malaysia boleh kurangkan menonton rancangan televisyen melalui
langganan saluran berbayar. Penjimatan bulanan yuran untuk 'Astro' umpamanya boleh digunakan
untuk membeli buku latihan untuk anak-anak di sekolah. Hakikatnya jika ada
kemahuan semua boleh jadi seperti pepatah, 'hendak seribu daya, tak mahu seribu helah' atau 'when there is a
will, there is a way'.
No comments:
Post a Comment