11 September 2013

Jangan Pilih Pemimpin Bermusim - Azeez Rahim @azeezputera @NajibRazak




Ahli di peringkat akar umbi kini sudah bijak dan tidak lagi terpedaya dengan pemimpin 'bermusim' yang hanya muncul menjelang pemilihan parti sebaliknya memilih mereka yang diyakini mampu bekerja untuk menerajui UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ahli sekarang mahukan pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan bagi mengukuhkan parti, bukannya mereka yang hanya beretorik untuk kepentingan peribadi.


Menurutnya, rekod kerja cemerlang seseorang pemimpin kini menjadi kayu pengukur kepada ahli menilai kredibiliti seseorang calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti nanti.

"Sekarang bukan masanya untuk golongan pemimpin bermusim yang hanya muncul menjelang pemilihan, selepas itu menghilangkan diri dan kemudian timbul balik. Saya percaya ahli akar umbi menolak mentah-mentah pemimpin sebegini," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) mengulas saranan supaya Lembaga Disiplin UMNO mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak yang memberi dan menerima wang untuk meraih sokongan menjelang pemilihan parti bulan depan. Abdul Azeez akan mempertahan jawatan ahli MT dalam pemilihan parti 19 Oktober ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji menambah, ahli di peringkat akar umbi tidak meminta apa-apa ganjaran daripada mana-mana calon sebaliknya mengharapkan khidmat yang boleh diberikan kepada parti.

"Tidak perlu calon-calon yang menawarkan diri bertanding meletakkan habuan di depan mata ahli atau berjanji macam-macam kepada mereka. Memadai dengan menceritakan apa yang telah mereka sumbangkan untuk bangsa dan agama serta khidmat yang boleh diberikan selepas ini," ujarnya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...