Jiwanya resah,
hatinya gelisah melihat persekitaran industri yang semakin tidak menentu.
Ketidaktentuan industri hiburan tempatan secara amnya dilihat sebagai satu
perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
Tidak hanya
melihatkan jumlah kutipan tiket wayang yang tidak memberangsangkan tetapi yang
lebih dikesalkan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid adalah isu watak wanita
tidak mengangkat martabat wanita.
"Apa yang kita
ada? Banyak drama atau pun filem hanya meletakkan wanita watak sebagai isteri
teraniaya, hidup bermadu, kena rogol atau watak-watak pelacur yang hidup terumbang
ambing.
"Kebanyakan
karya meletakkan wanita yang pada tahap paling rendah. Sampai bila wanita harus
diletak sebagai 'penyedap' dalam sesebuah karya?
"Padahal peranan
wanita lebih daripada itu. Saya pasti kebanyakan wanita di luar sana pun tak ingin
melihat kaum mereka digambarkan sebagai manusia yang lemah," katanya.
Cukup mesra disapa
dengan panggilan Nani, dia sedar isu ini sedikit sensitif memandangkan
melibatkan beberapa pihak lain yang punya alasan tersendiri mengapa wanita
harus digambarkan sedemikian.
"Alasan mereka
penonton mahu menonton dan karya begitu mendapat rating tinggi," tambahnya
kesal.
Menganggap wanita
tidak semestinya digambarkan sebagai wanita yang lemah, Nani masih teringat
karya-karya lalu saat dia terlibat dengan produksi Yasmin Ahmad yang meninggal
dunia pada tahun 2009 yang lalu.
"Cuba lihat
beberapa tahun kebelakangan ini mana karya yang mengangkat kaum wanita? Boleh
dikatakan wanita tetap digambarkan sebaliknya sampai hari ini. Sampai bila kita
nak terus mengajar penonton yang wanita hanya tempat melepas nafsu? Mungkin
suara saya sedikit lantang tapi apa yang saya katakan adalah kebenaran.
"Kalau saya tak
perjuangkan nasib wanita siapa lagi? Dan isu yang paling besar adalah sampai
bila?" soalnya.
Rentetan daripada isu
berkenaan, wanita yang menginjak usia 27 tahun itu enggan lagi terlibat dalam
naskhah-naskhah yang merendahkan wanita.
"Saya dengan
rela hati menolak untuk terlibat dalam naskah sebegini. Tak ada masalah besar
pun untuk menolak asalkan saya tidak menjatuhkan kami, kaum wanita. Kalau orang
nak kata saya memilih pun saya tak ada masalah dengan gelaran itu," ujarnya.
Filem tak laku, di
mana silapnya?
Menyorot kembali apa
yang telah berlaku kepada industri sejak akhir-akhir ini jumlah kutipan filem
tempatan di panggung sedikit menakutkan.
Meskipun membariskan
nama-nama besar dengan jalan cerita yang baik tetapi penonton enggan ke
panggung dan ini tentunya merencatkan sedikit pertumbuhan industri perfileman,
Paling dekat sudah
pasti melihatkan filem Psiko Pencuri Hati yang meletakkan Nani sebagai tunjang
utama karya arahan Namron itu.
"Orang kita
enggan ke panggung dan menonton filem tempatan. Mereka lebih gemar pada
filem-filem antarabangsa dan langsung tidak memberikan ruang kepada karya
sendiri. Sejujurnya saya sangat takut dengan keadaan ini. Ini isu yang semakin
meruncing tetapi sampai sekarang belum menunjukkan jalan penyelesaian.
"Golongan urban
bagi alasan tak mahu tengok filem tempatan tapi orang biasa pun tak mahu juga
ke panggung? Habis macam mana?" katanya.
Tidak mahu meletakkan
kesalahan di bahu mana-mana pihak, Nani menegaskan semua ini perlu berbalik
kepada asas pendidikan di sekolah yang kurang menerapkan semangat untuk
mencintai karya tempatan.
Jika keseluruhan
rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sudah pasti tidak
akan menimbulkan isu yang lebih rumit seperti yang berlaku hari ini.
"Lihat sahaja
hasil seni kita seperti makyung, wayang kulit, menora, main puteri dan
macam-macam lagi sudah semakin dilupakan oleh generasi hari ini.
"Kalau kita tak
ada semangat untuk mengambil tahu akar budaya dan seni sendiri tak mustahil
pada masa akan datang tak ada apa yang boleh kita ceritakan pada anak cucu.
"Sebab itu kita
perlu usaha yang menyeluruh untuk mengatasi isu ini. Masalah depan mata kita
buat tak nampak tapi kita sibuk dengan hal lain yang tak penting," katanya
penuh sinis.
Disayangi
Pernah dilabel
lantang dan panas baran satu ketika dahulu, Nani menganggap dia berjaya
mengawal sikap tersebut sedikit demi sedikit seiring dengan peningkatan usia.
"Saya dah
kurangkan banyak sikap tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dulu mungkin saya
tak boleh dikutuk dan akan mempertahan diri saya. Tapi sekarang saya lebih
rileks.
"Tak ada guna
nak melatah dengan isu yang sengaja digembar-gembur orang yang tak puas hati
dengan kita. Selagi kita menjawab selagi itu sesuatu isu itu tak akan habis.
"Saya ini jenis
yang berterus terang dan jujur. Kalau tak elok pada mata saya pasti saya cakap
yang benar. Tak guna nak jadi hipokrit, cakap pusing-pusing.
"Cuma saya
bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya seperti keluarga,
teman-teman dan rakan-rakan artis yang menjadi guru terbaik buat saya.
"Bila mereka ada
sudah cukup untuk membuat saya selesa. Mereka bukan sahaja bagi semangat tetapi
bagi inspirasi dan kekuatan pada saya menempuh hari-hari mendatang,"
katanya.
Namun yang dirisaukan
oleh Nani adalah apabila melihat keghairahan peminat menegur di laman sosial
seperti Instagram sejak akhir-akhir ini.
"Ada yang
terlalu mahukan perhatian sehingga mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini
bukan caranya untuk mereka bergaduh sesama sendiri atau tulis bukan-bukan.
"Banyak lagi
perkara lain yang lebih penting untuk diterokai daripada terus taksub kepada
media sosial seperti itu," tegas Nani.
Jadi pilihan
Larut dalam emosi,
Nani sebenarnya masih boleh tersenyum lebar apabila dia terpilih menjadi
sebahagian daripada keluarga besar jelas Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bersama
Roslan Aziz dan Edry Abdul Halim .
Menganggap dirinya
berupaya, dia sebenarnya mewakili golongan muda yang tahu apa 'ramuan dan
rencah' untuk mencari bintang baru melalui AF2013.
"Saya tidak
boleh menilai diri sendiri tapi apa yang boleh saya katakan mungkin mereka
melihat saya generasi muda yang cukup dekat dengan peserta AF2013 kali ini.
"Jarak umur yang
tak jauh ditambah dengan pengalaman saya sebagai anak seni membuatkan saya tahu
peserta mana yang berbakat dan boleh dilahirkan sebagai bintang pada masa
hadapan.
"Saya mungkin
tak tahu mendalam mengenai muzik tapi saya boleh mencari dan menilai orang lain
dengan cara lain. Melihat mereka berjalan, bercakap dan aspek-aspek lain.
"Kalau betul
dengan caranya tak mustahil AF2013 melahirkan superstar seperti yang diharapkan
semua," jelas pengkritik tetap AF2013 itu.
Pun begitu, Nani
cukup gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat yang teruja
dengan kemunculannya bersama rancangan tersebut.
"Ramai yang
tweet dan hantar mesej menyatakan kegembiraan mereka melihat saya di kaca TV
(televisyen). Saya pun tak selalu keluar TV sebab itu saya tahu ramai yang
ternanti-nanti.
"Setidak-tidaknya
saya tahu masih ada peminat yang sayang dan rindu dengan saya," katanya
tertawa.
Bagi Nani, dia tidak
pernah meletakkan perspektif buruk mengenai rancangan realiti TV meskipun ramai
yang menganggap rancangan seperti itu sudah tidak relevan buat masa ini.
Ujarnya, masih banyak
program realiti yang bagus terutama membabitkan program antarabangsa yang boleh
dikutip sebagai pelajaran.
Dan kongsi Nani
sebelum beredar, selepas hampir sedekad meninggalkan pentas teater, dia akan
kembali, kali ini bermonolog untuk karya Namron berjudul Aku Nak Jadi Bintang.
Bermula 29 Oktober
hingga 3 November ini, antara artis yang terlibat sama adalah Sofia Jane, Vanidah
Imran dan Aqasha. Teater itu bakal dipentaskan di Damansara Performing Art
Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment