“Apa
yang saya bimbang akhirnya berlaku,” kata Senab Saing, 26, isteri pekerja
ladang kelapa sawit warga Indonesia yang mati akibat dikelar di leher dengan
sebilah pisau buatan sendiri oleh sepupunya, awal pagi semalam. Dalam kejadian
jam 12.30 awal pagi di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Bakong itu, Mantang
Sakara, 33, berasal dari Makasar, Indonesia mati di tempat kejadian akibat
parah di leher dan dahi selepas dikelar suspek yang dipercayai mengalami
gangguan mental.
Difahamkan,
kejadian berlaku ketika mangsa memberikan segelas air yang diminta lelaki
berusia 20-an itu ketika dia terjaga daripada tidur. Bagaimanapun, ibarat bom
jangka, sepupu Mantang itu tiba-tiba bertindak agresif menyerangnya sebelum
mengelar leher mangsa menggunakan pisau buatan sendiri.
Menurut
Senab, dia terjaga dari tidur selepas terdengar suaminya menjerit meminta
tolong dan terkejut apabila melihat Mantang berlumuran darah terbaring
mengerang kesakitan.
Katanya,
ketika itu dia melihat suspek memegang pisau dan cuba merampasnya namun gagal,
malah menyebabkannya hampir menerima nasib sama apabila diserang suspek sebelum
lelaki itu melarikan diri.
“Ketika
itu, saya melihat suami yang berlumuran darah mengerang kesakitan serta
memegang lehernya yang cedera sebelum rebah ke lantai. Usaha saya untuk
menghalang pendarahan pada leher suami dengan sehelai tuala gagal sebelum dia
tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.
Katanya,
sebelum kejadian, suspek yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran
bertandang ke rumahnya petang kelmarin dan menyatakan hasrat untuk bermalam di
situ.
“Ketika
itu, saya benar-benar bimbang dan menyuarakan perkara itu kepada suami selepas
melihat perangai pelik sepupunya yang sering bercakap seorang diri namun tidak
dihiraukan suami.
“Malah,
saya dan suami serta anak perempuan berusia tiga tahun tidur di luar kerana
bilik tidur kami dikunci lelaki itu dari dalam beberapa jam sebelum kejadian,”
katanya.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika
mengesahkan kejadian itu berkata, gerakan mencari suspek dilakukan. Katanya,
mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes berkenaan
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment