Bilakah tarikh pilihanraya...? Itulah antara ‘soalan panas’ yang sering meniti dari bibir ke bibir dan menjadi topik perbualan hangat pada tika ini. Walaupun majoriti rakyat masih lagi sibuk dengan tugasan seharian, namun di kem pembangkang topik ini seolah-olah wajib untuk terus dibincangkan.
Menurut sumber yang dipercayai, pembangkang pada masa ini di lihat amat terdesak dengan menghebahkan kepada pengikutnya kononnya Pilihanraya Umum 12 (PRU) bakal diadakan pada 26 Disember ini. Ia bertujuan untuk memastikan jawatankuasa pilihanraya Barisan Alternatif (BA) semua peringkat untuk mula mengerakkan jentera kempen pilihanraya.
Semua bilik gerakan diarahkan untuk merangka pelbagai aktiviti bagi tujuan untuk berkempen dalam menghadapi PRU12 ini. Antara program yang telah digerakkan seperti ceramah mingguan, pengedaran risalah, pemeriksaan daftar pemilih, penempahan bendera, t-shirt dan sebagainya. Difahamkan juga rasional yang diguna pakai oleh pembangkang ketika membincangkan strategi ini ialah, andaikata ramalan yang dibuat itu tersasar, setidak-tidaknya jentera BA telah pun digerakkan untuk berkempen ke setiap lapisan masyarakat.
Dan ia bakal diteruskan sehinggalah tarikh sebenar diumumkan oleh pihak pemerintah. Ia juga secara tidak langsung akan memberikan pembangkang tempoh yang panjang untuk berkempen berbanding 7 hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Andaikata ramalan yang dibuat ini benar, maka semua jentera BA telah pun berada dalam keadaan yang bersedia dan mampu untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa. Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga dilihat mengunakan pendekatan yang lebih halus apabila meminta pengundi untuk memberikan mereka peluang untuk memerintah negara ini walaupun untuk tempoh yang seketika.
Menurut mereka juga andaikata prestasi yang ditunjukkan oleh pembangkang tidak memberangsangkan maka pengundi berhak untuk mengadakan pelbagai jenis himpunan untuk mendesak kerajaan ketika itu (pembangkang) untuk mengadakan pilihanraya semula.
Tegas mereka juga andaikata janji yang diberikan gagal dilaksanakan, maka mereka juga bersedia untuk mengadakan pilihanraya semula untuk memberikan hak kepada rakyat untuk memilih Barisan Nasional semula.
Oleh itu tidak timbul sebarang alasan untuk pengundi untuk terus menolak BA pada PRU akan datang kerana kerajaan yang bakal dibentuk boleh ditukarkan pada bila-bila masa sekiranya gagal untuk menberi kesejahteraan kepada rakyat. Ternyata taktik yang digunakan oleh BA ini agak halus kerana cuba memperbodohkan pengundi dengan janji-janji manis disamping memperjudikan negara demi memenuhi cita-cita politik mereka.
BA cuba membayangkan kepada pengundi yang mentadbir negara adalah mudah dan tidak ubah seperti menukar baju. Andainya baju yang digunakan tidak memenuhi citarasa, maka tukarlah kepada baju yang baru. Secara zahirnya ia tampak mudah untuk dipraktikkan, namun kesannya bukanlah semudah yang digambarkan.
Untuk mentadbir sesebuah negara, ia bukanlah semudah yang digambarkan. Andaikata ia mudah negara seperti Myanmar, Vietnam, Kemboja, Thailand dan negara dunia ketiga tidak seharusnya terus dihimpit kemiskinan. Andaikata ia mudah, sepatutnya tidak wujud lagi negara miskin dan rakyat yang menjadi mangsa kebuluran.
Bagaimana pula dengan kestabilan politik yang diperlukan untuk meyakinkan para pelabur negara asing? Apakah pasaran saham dan tukaran mata wang negara akan terus stabil kiranya kerajaan yang memerintah sering berubah-ubah? Apakah dasar pembangunan negara yang diguna pakai selama ini tidak cukup hebat dan perlu dirombak? Andaikata perlukan perubahan, perubahan yang bagaimanakah ingin dibawa oleh mereka ini?
Apakah BA lupa untuk menerangkan berkenaan semua perkara ini? Jawapannya mudah, tidak mereka bukanya terlupa tapi sengaja tidak mahu menerangkan perkara yang sebenar. Mereka cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan memberikan ideologi yang sempit.
Satu lagi persoalan yang perlu dibangkit dan difikirkan bersama ialah, bagaimanakah negara ini akan dikemudikan untuk terus memacu perkembangan ekomoni negara? Sedangkan umum mengetahui dari dulu langsung tidak wujud persefahaman di antara pemimpin atasan BA.
Dengan ideologi yang saling bertentangan dan berantakan, mampukah mereka menjadikan menjadikan Malaysia lebih dari sekarang? Nasihat kepada barisan kepimpinan BA perbaiki dahulu krisis dalaman yang melanda sebelum bermimpi untuk memimpin negara.
Kerajaan yang memerintah tika untuk, telah berusaha sedaya upaya untuk terus menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman lagi makmur dan sesuai didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira anutan dan fahaman. Oleh yang demikian tidak timbul persoalan untuk menukar kerajaan dan ditadbir oleh mereka yang rakus dan halobakan kuasa ini.
Buat pengundi yang matang buatlah pilihan samada untuk terus menyokong kerajaan yang telah terbukti ‘track record’nya atau memilih barisan pembangkang yang masih bercelaru dengan saling bercakaran. Topik yang diperkatakan adalah mengenai ‘survival’ negara yang bukan seperti memakai dan membuang baju. Mentadbir negara tidak seperti melakukan ujian makmal ataupun eksperimen, ia merupakan isu yang serius dan besar.
Tepuk dada tanyalah selera.
04 December 2007
SURVIVAL NEGARA BUKAN UNTUK UJIKAJI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment