04 December 2007

JENTERA PILIHANRAYA PAS TELAH DIGERAKAN, JENTERA UMNO MASIH BERCUTI???



Jentera Pilihanraya Pas Selangor dilihat telah mengerakkan semua ahli di semua peringkat untuk memastikan Kerajaan Negeri Selangor berjaya ditumbangkan pada pilihanraya umu (PRU) yang akan datang. Program demi program telah diatur dan dijalankan dalam memastikan objektif ini terlaksana.

Semua bilik gerakan telah mula dibuka dan untuk menjalankan kerja-kerja pilihanraya. Tiada lagi istilah ‘bulan madu’ buat mereka walaupun Pak Lah telah menegaskan masih lagi belum mendapat ‘ilham’ untuk mengumumkan tarikh pilihanraya’ umum yang akan datang.

Walaupun demikian mereka juga hanya memfokuskan kepada ‘kerusi’ yang diyakini dapat ditawan semula. Analisa yang dilakukan telah membolehkan mereka mengenal pasti kawasan yang memperolehi majoriti yang kecil pada PRU yang lepas.

Tidak cukup dengan ceramah, mereka juga dilihat begitu agresif mengedarkan pelbagai jenis risalah, dan melakukan gerakan untuk mendekati hati pengundi. Fokus mereka hanya kepada pengundi ‘atas pagar’ yang difikirkan mampu diumpan untuk cenderung kepada mereka. Sebagai contoh difahamkan Pas Gombak telah mengerakan jentera pemuda untuk mengedarkan pelbagai risalah dikawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti di Greenwood, Gombak dan Selayang.

Bukan itu sahaja mereka juga meminta orang ramai yang ditemui untuk sama-sama menghadirkan diri ke ceramah yang mereka anjurkan.

Unit pilihanraya mereka dilihat telah mengeluarkan ‘senarai pendek’ pengundi atas pagar, dan wakil setiap kawasan telah diminta untuk mendekati golongan ini. Senarai pendek itu juga bertujuan untuk membolehkan mereka merangka pelan untuk menarik golongan ini memberikan undi mereka kepada pembangkang.

Difahamkan juga Pemuda Pas Selangor begitu aktif mengenal pasti golongan pelajar di universiti-universiti kerajaan dan swasta serta kolej-kolej tempatan untuk membolehkan mereka menyusup masuk untuk menyampaikan dakyah politik.

Modus operandi yang digunakan ialah mengenalpasti pelajar yang mampu untuk mempengaruhi pelajar yang lain. Setelah dikenalpasti mereka akan melakukan pelbagai program yang berbentuk keagamaan seperti ‘usrah’ dan sebagainya. Setelah itu secara senyap mereka akan menaburkan pelbagai jenis dakyah politik yang akan mengakibatkan golongan pelajar ini menjadi marah dan benci kepada kerajaan yang memerintah.

Namun apa yang ingin diperkatakan bukanlah mengenai gerak kerja yang sedang dijanlankan oleh pembangkang, tapi berkenaan jentera UMNO yang masih lagi bercuti dan berbulan madu. Bilik gerakan UMNO masih lagi berkunci dan program yang dilakukan hanya tertumpu kepada ahli sahaja dan tidak secara menyeluruh.

Golongan ‘atas pagar’ dilihat semakin diabaikan dan kurang didekati. Mereka ini hanya didekati apabila ‘gendang’ pilihanraya telah dipalu oleh Pak Lah. Andaikata UMNO masih lagi mengamalkan kerja ‘last minute’ dan gagal menyaingi jentera pembangkang, maka tidak mustahil objektif Pas untuk menawan Selangor bakal menjadi kenyataan.

Ahli UMNO terutamanya di Selangor seharusnya tidak memandang sepi gerak kerja yang telah dilakukan oleh pembangkang ini, kerana tanpa kerja keras, usaha dan kerjasama semua pihak misi untuk mamastikan Selangor terus diperintah oleh UMNO/BN bakal menjadi sukar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...