04 December 2007

SELAGI DENDAM ANWAR PADA MAHATHIR TIDAK TERBALAS





Baru-baru ini Bar Council, sebuah kesatuan NGO yang di pengerusikan oleh Sivarasa Rasiah, telah mengadakan satu forum yang membincangkan perihal institusi kehakiman di Malaysia yang kononnya menghadapi krisis yang paling teruk di dalam sejarah kehakiman Malaysia. Bar Council yang dibayangi oleh Anwar Ibrahim ini ternyata sudah mula hilang pendirian dan hala tujunya.

Pada malam itu, Anwar antara lainnya mempersoalkan kredibiliti Tun yang kononnya begitu rakus mengamalkan rasuah hinggakan sanggup mencemarkan kesucian institusi kehakiman pada tahap yang amat memalukan. Sepanjang forum itu berlangsung rata-rata mereka, hanya memfokuskan kepada kelemahan dan betapa zalimnya Tun Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintah beliau.

Anwar yang dilihat sebagai ‘ikon’ pada malam itu, cuba mengambarkan kononnya Tun Mahathir selama pemerintahan beliau mengamalkan budaya ‘diktator’ atau kuku besi. Anwar dilihat cuba menonjolkan dirinya sebagai salah seorang mangsa hasil dari ’air tangan’ pemerintah itu sebelum ini.

Namun demikian di masa yang sama, Anwar juga sempat memberikan gambaran kononnya dirinya layak untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri yang seterusnya. Beliau menegaskan juga, 3 orang Perdana Menteri yang memerintah Malaysia sebelum ini mempunyai latarbelakang perundangan sedangkan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Pak Lah langsung tidak mempunyai latarbelakang undang-undang. Yang mana natijahnya, mereka ini telah gagal untuk memelihara institusi kehakiman sehingga telah ‘dilacurkan’ dengan teruknya.

Berbanding dengan diri beliau, sepanjang berada di Sungai Buloh, beliau kononnya mempunyai masa yang banyak untuk membaca buku berkaitan undang-undang Malaysia. Oleh itu secara tidak langsung menjadikan diri beliau peka dan mahir mengenai selok-belok perundangan. Beliau juga berjanji untuk mengembalikan maruah institusi kehakiman yang telah runtuh andaikata mampu membentuk kerajaan pada pilihanraya umum kelak.

Walaupun hanya mengunakan nada yang sinis tatkala meluahkan hasrat hati beliau itu, namun rata-rata peserta yang menyertai forum tersebut faham dengan nawaitu beliau yang sebenar. Yang menjadi persoalannya, apakah hanya disebabkan beliau telah membaca beberapa jilid buku perundangan telah menjadikan beliau calon yang layak untuk memerintah negara?

Sungguh kritis pemikiran beliau kerana cuba memperbodohkan peserta dengan hujah yang begitu longgar, dalam menentukan hala tuju politik di negara ini. Kalau macam tu, maka ramailah dikalangan penjenayah yang pernah tinggal didalam jeriji besi layak menjadi Perdana Menteri. Asalkan mereka membaca buku undang-undang?

Tidak cukup dengan menghina Tun, Anwar dilihat begitu bersemangat mengkritik Menteri Penerangan Malaysia yang pada hemat beliau merupakan seorang yang buta huruf kerana tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

Beliau turut mengatakan, rakyat yang terus menolak Barisan Alternatif pada pilihanraya akan datang adalah merupakan mereka yang tergolongan di kalangan hamba.

Beliau mempertikai, rakyat tidak seharusnya terus memihak kepada Barisan Nasional kerana pada hematnya jika bersekongkol dengan Barisan Nasional, mereka secara tidak langsung telah merelakan dirinya dipergunakan oleh kerajaan UMNO.

Lihatlah betapa terdesaknya Anwar Ibrahim, sanggup menggunakan isu cetek dan lemah semata-mata untuk menakutkan rakyat. Banyak isu-isu bodoh, lemah, merapu dan angkuh yang sering meniti dibibirnya adalah bukti kukuh bahawa insan kecewa ini bukanlah pilihan bijak untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri.

Kesimpulanya, tindakan yang diambil oleh Tun Mahathir dengan memerapkan Anwar Ibrahim di ‘istana hinggapnya’ adalah merupakan satu tindakan yang wajar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...