04 September 2013

Rakyat Selangor Belum 'MERDEKA' Dari Masalah Air, Rumah



Akhirnya Khalid GAGAP Sedar, Bukan Mudah Untuk Mentadbir Sebuah Kerajaan

Oleh : Abdul Razak Idris

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!... Laungan keramat bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj penuh bermakna. Selepas 56 tahun laungan tersebut semakin sayu didengari terutamanya di sebuah negeri yang menjadi negeri termaju di negara ini.

Selangor yang suatu waktu dahulu merupakan negeri yang menjadi lambang kejayaan Barisan Nasional (BN) kini ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) lalu rakyat memberi peluang kali kedua untuk PR membuktikan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berbakti kepada rakyat negeri tersebut.

Masalah air di Selangor yang dijangka semakin buruk tahun hadapan telah jelas bunga-bunganya setelah berlaku pencemaran sumber air di hulu sungai di Rawang, hingga kawasan takungan air di Kuala Selangor terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan. Rungutan rakyat Selangor di pagi merdeka mengalahkan laungan merdeka tetapi ditukar liriknya menjadi... Air! Air! Air.


Begitulah fenomena yang akan berlaku selagi Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak mendapat Arahan Pembangunan (Development Order). Sekurang-kurangnya jika air di Kuala Selangor tidak ada mungkin air di loji takungan baru dapat menampung segala kekurangan air akibat insiden luar jangka tersebut. Begitu juga sebaliknya jika kawasan lain tidak ada air.

Selain masalah air yang mencengkam emosi rakyat Selangor masalah perumahan turut menjajah kehidupan seharian rakyat negeri termaju ini. Namun setakat semalam, rakyat Selangor yang masih mahu dijanjikan dengan mimpi-mimpi indah pihak pembangkang majoritinya masih tidak mempunyai rumah sendiri walau sekangkang kera. Janji kerajaan negeri mahu membina rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan sederhana ibarat menjala ikan di Gurun Sahara. Masih belum dapat dilihat papan tanda cadangan projek rumah mampu milik yang sesungguhnya mampu dimiliki di mana sahaja di muka bumi Selangor ini.

Sepatutnya selepas 56 tahun merdeka, masalah rumah yang melambung tinggi mampu diatasi kerajaan negeri yang menguar-uarkan mempunyai wang hasil negeri yang berkoyan-koyan. Rakyat Selangor sepatutnya tidak melepaskan peluang keemasan memiliki rumah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Teras Ke Empat Aku Janji Barisan Nasional (BN) Selangor yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto PRU-13.

Apa erti merdeka bagi rakyat Selangor sekiranya rakyatnya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih menjadi penyewa tegar. Bayangkan rumah berjumlah 25,000 unit untuk rakyat termiskin dan projek mesra rakyat ditolak oleh rakyat Selangor semasa PRU-13 yang masih menaruh harapan kepada pihak lain untuk menjadi 'penyelamat' mereka dari terus menyewa rumah dengan kadar RM500 hingga RM600 sebulan.

Apa yang menyedihkan tiada lagi suara yang mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk mewujudkan perumahan mampu milik dan kos rendah. Apa yang merimaskan , pihak kerajaan PKR Selangor bukan sahaja tidak membina rumah kos rendah seperti didesak pihak NGO (yang kini sudah KO), malahan anak syarikat kerajaan negeri lebih menumpukan projek komersial dan mewah yang menyebabkan bantahan rakyat negeri ini lima tahun kebelakangan ini.

Apa yang lebih menonjol anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sanggup membuat projek komersial untuk pelabur asing hingga perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat negeri Selangor tidak lagi dibuat. Projek Datum Jelatek yang dibantah besar-besaran oleh pihak NGO tetap diteruskan seolah-olah bantahan yang dibuat ibarat membujur lalu melintang patah di pihak kerajaan negeri.

Lima tahun lagi, sekiranya masalah air dan perumahan terus membelenggu di Selangor sudah pasti rakyat akan sedar bahawa minda mereka sedang dijajah oleh momokan media pembangkang di dunia maya bahawa kerajaan BN tidak berjasa kepada mereka selama ini.

Penjajahan minda tersebut adalah dalam bentuk menjanjikan masalah akan selesai dengan memberi peluang kepada mereka untuk terus menjadi kerajaan, namun dalam masa sama menuding jari kepada kerajaan BN negeri terdahulu dan kerajaan Pusat sebagai kambing hitam jika masalah perumahan mahupun masalah air masih tidak selesai.

Namun apa gunanya pada masa rakyat tersedar dari lena bahana termakan janji PR, segalanya sudah terlambat. Masalah air akan menyebabkan kegiatan ekonomi merudum dan sudah pasti kegiatan ekonomi akan bercambah di negeri lain akibat pelabur asing membawa modal ke negeri yang mempunyai bekalan air yang mencukupi.

Lagi lima tahun juga harga rumah dan kos membuat rumah sudah pasti melambung tinggi dan rakyat akan terus bukan sahaja menjadi penyewa tegar malahan terpaksa duduk jauh hingga ke pinggir desa (itupun jika kawasan tersebut masih tidak terjangkit projek pembangunan).

Justeru, adakah ini suasana pagi merdeka yang sekalian rakyat Selangor mahukan? Kerajaan pakatan perlu menyelesaikan masalah air dan rumah. Adakah tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi dan tidak pula memiliki sebuah rumah sendiri dan masih merempat di bumi sendiri dianggap merdeka oleh rakyat Selangor?

Kerajaan Pusat sedar masalah air dan rumah penting untuk diselesaikan namun majoriti rakyat Selangor masih membiarkan 'penjajahan' minda menguasai diri. Namun masih belum terlambat menuntut hak air yang lebih baik, bukan setakat air percuma tetapi air perlulah ada, kalau ada biarlah rasa air bukan rasa diesel.

Begitu juga rumah, takkan rakyat hendak menyewa sehingga mati atau paling teruk mengembalikan setinggan bandar. Rumah! Rumah! Rumah! Air! Air ! Air…...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...