Banyak telah diperkatakan mengenai pemilihan UMNO yang baru
lalu. Ada yang berkata UMNO tidak berubah, ada yang berkata UMNO
telah berubah dan ada yang berkata ia berubah ke arah yang salah serta ada juga
yang berkata ia berubah ke arah yang benar.
Sejak sebelum pemilihan cakap-cakap mengenai ‘perubahan’ sudah terlalu sering di dengar. Ini tidak
menghairankan memandangkan kerajaan juga membawa slogan ‘transformasi’ yang turut bermakna perubahan.
Masalahnya, terdapat berbagai-bagai tafsiran perubahan. Ada yang
melihat perubahan ke arah kematangan, tetapi ada pula yang melihat ke arah
meremajakan UMNO kembali. Ada yang mentafsirkan kematangan itu
keterbukaan, dan ada yang mentafsirkan ‘remaja’
sebagai keterbukaan juga. Justeru, di manakah UMNO sebenarnya?
Dalam keadaan kecelaruan ini, UMNO wajib kembali kepada akar umbi.
Ingatlah bahawa UMNO adalah milik ahli-ahlinya dan bukan kepimpinan
semata-mata. Hanya ahli-ahli UMNO yang berhak menentukan hala tuju mana
yang mereka inginkan. Pemimpin UMNO tidak boleh menidakkan suara akar umbi
kerana akar umbilah yang memberikan jawatan itu kepada mereka. Jika
pemimpin tidak bersetuju dengan akar umbi, maka semestinya beliau tidak layak
menjadi pemimpin parti ini.
Nampaknya, ahli-ahli telah bersuara melalui pemilihan yang baru lalu
berdasarkan jumlah undi popular.
Jika sistem pilihanraya umum dipersoalkan kerana tidak mengambil kira
undi popular dan hanya mengira jumlah kerusi, ia adalah kerana kita memilih
wakil bagi setiap kawasan. Oleh itu, hanya penduduk setempat yang berhak
menentukan wakil di kawasannya. Sistem ini didapati yang paling sesuai
kerana jika kita mengambil kira undi keseluruhan maka ia akan menyebabkan
ketidakadilan kepada rakyat mengikut kawasan masing-masing.
Namun, bagi pemilihan UMNO, terutama peringkat tertinggi, termasuk sayap
dan juga Majlis Tertinggi, akar umbi bukan memilih pemimpin kawasan, tetapi
pemimpin bagi keseluruhan. Justeru, undi popular wajar diteliti bagi
memahami kehendak akar umbi itu.
Persaingan sengit antara Dato’ Seri Hishamudin dengan Dato’ Mukhriz
Mahathir adalah antara yang paling menarik untuk dikaji. Mukhriz,
walaupun kalah, jelas telah mendahului dari segi undi popular walaupun
jenteranya jauh lebih terkebelakang daripada Hishamuddin. Jika
jentera mereka sama hebat, kita pasti Hishamuddin akan ketinggalan jauh.
Maka, wajarlah kita bertanya, apa yang akar umbi nampak di dalam diri
Mukhriz yang membuatkan mereka memilihnya?
Dari maklum balas dan reaksi ramai di kedai kopi, dan juga di alam
siber, kita mendapati rakyat melihat Mukhriz sebagai membawa imej bersih dan
ikhlas. Beliau dikenali sebagai rajin bekerja dan merendah
diri. Beliau juga telah terbukti mempunyai kebolehan dan kecekapan
mentadbir berdasarkan pengalamannya di dunia perniagaan.
Nama bapanya, hanyalah ‘penyedap’
rasa bagi menambah keyakinan ramai bahawa beliau merupakan ‘produk’ yang baik untuk negara. Mukhriz juga tanpa
segan silu memaparkan dirinya sebagai pejuang Melayu malah lantang membawa
agenda Melayu serta menentang sebarang ancaman terhadap agama
Islam.
Ini bertepatan dengan kemenangan Dato’ Seri Zahid Hamidi yang berada di
tempat teratas dalam pemilihan Naib Presiden. Zahid, seperti juga Mukhriz
turut memaparkan dirinya sebagai pejuang Melayu serta lantang menyahut cabaran
dari para ektremis Cina mahupun
samseng India. Zahid juga dilihat oleh rakyat sebagai ‘bekerja’ bersungguh-sungguh.
Beza antara Zahid dengan Mukhriz mungkin hanya dari segi pendekatan
politik mereka di mana Zahid lebih bijak meraih populariti melalui
media. Sama ada ia kebetulan atau dirancang bukanlah soalnya. Mukhriz
pula lebih gemar bekerja tanpa mencari populariti, yang mana menyebabkan beliau
dituduh oleh orang-orang politik sebagai ‘ketinggalan’.
Namun, apa yang penting ialah, kedua-dua Zahid dan Mukhriz tidak
mengambil pendekatan ‘apologetic’
apabila diserang oleh pembangkang atau kumpulan minoriti.
Jelas di sini bahawa kualiti inilah yang akar umbi mahukan.
Dalam memilih Ahli Majlis Tertinggi juga kita melihat trend yang sama di
mana Datuk Seri Mustapa Mohamed diumumkan menduduki tempat pertama dengan
jumlah undi 89,560. Mustapa selama ini cukup terkenal di kalangan
rakyat sebagai mungkin satu-satunya menteri yang tidak berpolitik.
Beliau sentiasa bekerja keras dan tidak pernah mencari publisiti
murah. Sikap yang merendah diri dan dedikasi menyebabkan beliau dihormati
serta tidak pernah menimbulkan kontroversi. Mustapa juga antara pemimpin
yang tidak jemu-jemu membantu bumiputera melalui portfolio yang
dipegangnya.
Kita percaya bahawa atas dasar inilah maka akar umbi memberi beliau undi
tertinggi.
Pemilihan sayap pemuda, wanita dan puteri bagaimanapun sukar untuk
diperhalusi memandangkan jumlah undi popular tidak pernah
didedahkan. Dengan kedudukan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang
penuh kontroversi, keputusan untuk tidak mendedahkan jumlah undi popular
menyebabkan syak wasangka dan tuduhan-tuduhan liar terus ‘melingkar’ di kalangan akar umbi dan rakyat keseluruhannya.
UMNO sewajarnya tahu bahawa kemenangan watak yang kontroversi bukanlah
satu kemenangan buat UMNO. Mungkin sukar untuk diterima, tetapi hakikatnya
kemenangan mereka mengundang pandangan sinis rakyat. Apatah lagi dengan
pendirian jelas Ketua Pemuda yang ingin membawa keterbukaan serta melonggarkan
perjuangan UMNO dari segi agama dan bangsa.
Keadaan bertambah buruk bagi UMNO apabila pembangkang dilihat menyambut
baik sekali kemenangan Ketua Pemuda, yang mana meningkatkan lagi keraguan
rakyat terhadap dirinya. Ingatlah musuh tidak akan gembira jika sesuatu
itu benar-benar baik untuk kita.
Mungkin keadaan akan lebih ‘selesa’ sekiranya undi popular bagi
sayap-sayap UMNO turut didedahkan. Tindakan ini boleh meredakan sedikit
rungutan rakyat dan juga akar umbi.
Secara ringkasnya, kedudukan undi popular adalah terjemahan dari
kehendak akar umbi dan rakyat jelata. Jelas di sini, bahawa rakyat
inginkan pemimpin yang dedikasi dan komited pada kerja, merendah diri tetapi
berani dan lantang dalam mempertahankan Melayu dan Islam.
Mana-mana pemimpin yang memilih keterbukaan dan lemah bila berhadapan
dengan asakan pembangkang dan golongan minoriti akan dipandang sinis dan
diragui oleh rakyat.
Justeru, hala tuju UMNO wajib melalui landasan yang sedia ada iaitu
perjuangan Agama, Bangsa dan Negara sepertimana kehendak akar umbi. Tiada
kompromi sama sekali bagi sebarang percubaan untuk mengubah hala tuju
UMNO. Perubahan yang sebenarnya di-idam-idamkan oleh akar umbi ialah agar
UMNO lebih tegas, lebih ikhlas, lebih berani, lebih lantang dan lebih dedikasi
seperti Zahid, Mukhriz atau Dato’ Mustapa.
Ketahuilah bahawa rakyat sudah muak melihat pemimpin yang lebih
publisiti dari bekerja, lebih glamour dari bijak, lebih cakap dari bertindak
dan lebih slogan dari hasil.
No comments:
Post a Comment