Semalam,
Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang
bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang
berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang
bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi.
Semalam
juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO
tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan
memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi,
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota
CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha
agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus
membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan
Naib-Naib Presiden.
Begitulah
bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah
tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit.
Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu
memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti.
Jika
sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan
dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan
UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika
diselak sejak hari penamaan calon baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan
yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen.
Pihak
yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen,
bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan
oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka
yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.
Keadaan
ini berbeza bagi mereka yang mempunyai jawatan sama ada dalam kerajaan pusat
atau kerajaan negeri atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai
aktiviti untuk tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Mungkin jika ini tidak ditangani akan timbul pelbagai isu yang boleh
menjejaskan proses pemilihan. Bukan mudah untuk memantau corak kempen ini.
Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran.
Fokus
utama yang perlu diberi perhatian ialah politik wang dan kempen memburukkan
orang lain. Seperti dibangkitkan dalam Selak sebelum ini, apa yang penting
elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Berdasarkan simulasi semalam,
dijangkakan tidak timbul masalah dalam kaedah pemilihan kali ini.
Berbalik
kepada pemilihan DAP, jumlah calon yang bertanding semalam berkurangan
berbanding pemilihan yang diadakan pada Disember lalu. Jumlah kali ini
berkurangan sebanyak 19 orang, iaitu 17 menarik diri dan dua lagi keluar parti.
Menyelak kembali di sebalik pemilihan semula ini, kongres khas terpaksa
diadakan semula atas permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana banyak
persoalan timbul pada pemilihan lalu.
DAP
terpaksa akur dengan kecuaian manusia yang melibatkan keputusan terhadap
tujuh orang calon. Dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini, beberapa fakta
menarik perhatian banyak pihak. Pertamanya, lapan orang Melayu yang bertanding
tersingkir menyebabkan parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum itu dikritik
hebat.
Keduanya
berlaku pembetulan keputusan selepas 19 hari pemilihan apabila parti itu
tampil memperbetulkan kesilapan undi yang diterima oleh tujuh calon. Hasil pembetulan
itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menduduki tangga ke-39 melonjak ke
tangga 20 (terakhir dalam senarai) sekaligus meletakkannya sebagai seorang anggota
CEC yang dipilih.
Undi asalnya305
meningkat kepada 803 manakala Wu Him Ven yang menduduki tempat ke-6 menjunam ke
kedudukan 26 menyebabkannya terkeluar daripada senarai anggota CEC yang
dipilih. Undi baru yang diperolehnya adalah 669 undi berbanding 1,202 undi.
Beliau kemudiannya menganggotai CEC sebagai anggota yang dilantik. Lima lagi
turut mengalami perubahan jumlah undi iaitu Wong Sai Hoong 23 (asal 448), Wong
Sze Phin 643 (761), Zulkifli Mohd Noor 249 (216), Roseli Abdul Gani 69 (39) dan
Tan Boon Peng 40 (407).
Semalam,
semua 20 anggota yang dipilih adalah anggota CEC yang terpilih selepas pembetulan
dilakukan pada pemilihan lalu. Jelaslah, perwakilan tetap memilih orang yang
sama, cuma corak undi yang diterima berubah. Pada masa yang sama, perwakilan
tetap menolak calon-calon Melayu yang turut menawarkan diri bertanding
termasuklah Senator Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai Naib Pengerusi
selepas pemilihan lalu. Benarkah kenyataan seorang calon CEC Melayu, Zulkifli
Mohd Noor bahawa nilai orang Melayu dalam DAP ibarat mata wang bernilai lima
kupang atau 50 sen?
KARPAL
TETAP GAGAH
Walaupun
pemilihan semula diadakan, Karpal Singh, 73 tetap gagah sebagai Pengerusi
DAP. Semalam, beliau menegaskan tidak akan berundur dari politik selagi pakatan
pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat. Karpal pernah jatuh dalam pilihan
raya umum (PRU) apabila beliau kalah di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan
Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada 1999. Bagaimanapun beliau berikrar untuk
bangkit semula dan kata-kata itu terbukti apabila beliau menang semula pada PRU
2004 diikuti 2008 dan 2012.
Begitulah
keazaman veteran DAP itu yang tidak menolak kemungkinan akan terus kekal
sebagai calon PRU akan datang. Beliau sememangnya berhasrat untuk menyerahkan
kepemimpinan kepada generasi muda. Katanya: Kita semakin tua dan orang
(pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti. Saya akan bersara dalam masa
munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi
kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda.
Maknanya,
peranan orang lama masih tetap diperlukan. Kenapa Karpal Singh yang sudah
begitu lama berkecimpung dalam politik masih tetap gagah dan diterima ramai?
Semalam, Karpal Singh mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, sama seperti
pada pemilihan Disember lalu.
Jumlah
undinya meningkat daripada 1,411 kepada 1,421 undi. Penasihat parti, Lim Kit
Siang pula jatuh ke nombor dua dengan undi merosot iaitu daripada 1,607 kepada
1,436 undi, kehilangan 171 undi. Anaknya, Lim Guan Eng pula menduduki tempat ke
lima dengan 1,304 undi, merosot 272 undi berbanding kedudukan No.2 pada 2012
dengan 1,576 undi. Apakah ada sesuatu di sebalik keputusan semalam? Yang pasti
tiada kejutan!
No comments:
Post a Comment