“Saya nak ke alam ghaib dan syurga,” itu antara kata-kata yang sering
diungkapkan seorang lelaki yang mengalami kemurungan sebelum dilaporkan hilang
dari rumahnya sejak jam 3 petang, Sabtu lalu.
Mangsa, Rofiei Khalid, 59, dilaporkan hilang dari rumahnya di Puncak
Alam Fasa Tiga, di sini, dipercayai menuju ke kawasan hutan yang terletak
kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Namun, usaha menjejaki mangsa
yang dijalankan ahli keluarga serta anggota bomba dari Balai Bomba dan
Penyelamat Bestari Jaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Klang masih
buntu kerana gagal mengesan atau mendapat apa-apa petunjuk.
Difahamkan, Rofiei yang juga pesara kerajaan cuba masuk ke kawasan hutan
berkenaan pada Rabu lalu, namun tindakannya itu dihalang seorang lelaki yang
berada tidak jauh dari kawasan itu sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Isteri mangsa, Misnah Yahya, 52, berkata, suaminya mengalami masalah
kemurungan sejak 2006 dan sembuh pada 2011, namun penyakitnya datang kembali
pada penghujung 2011 sehingga kini.
Beliau berkata, suaminya dipercayai sering masuk ke kawasan hutan berhampiran
rumah mereka seorang diri berdasarkan kesan lumpur pada kasut yang dipakai dan
sudah beberapa kali hilang dari rumah, namun berjaya ditemui di kawasan gelap
berhampiran rumah.
“Apabila ditanya tujuan dia masuk ke hutan, dia kata mahu masuk ke alam ghaib
dan syurga,” katanya.
“Kali terakhir suami dilihat cuba masuk ke hutan berkenaan pada Rabu
lalu namun berjaya dihalang seorang lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan
itu sebelum dihantar pulang ke surau berhampiran,” katanya sewaktu ditemui
Harian Metro, semalam.
Katanya, dia dan ahli keluarga serta jiran sudah berusaha mencari
suaminya di kawasan berhampiran, namun masih gagal menemuinya sehingga kini.
Beliau bersama tujuh anaknya kini bimbangkan keselamatan suaminya yang
turut mengidap penyakit kencing manis dan bergantung kepada ubat untuk mengawal
kemurungannya.
Misnah berkata, dia berharap suaminya itu ditemui segera dalam keadaan
selamat kerana suaminya tidak membawa wang dan dokumen pengenalan diri ketika
keluar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya Jumaat
Muskim berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehilangan Rofiei pada
jam 10.25 pagi semalam.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan lapan pegawai bersama
anggota dikejarkan ke kawasan hutan berhampiran Puncak Alam Fasa Tiga untuk
mencari mangsa.
“Setakat jam 2 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi
mencari akan diteruskan menggunakan khidmat pasukan Anjing Pengesan dari
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor,” katanya.
No comments:
Post a Comment