UMNO telah lama
membela Melayu dengan memberi berbagai tongkat serta membina benteng pertahanan
agar bangsa ini dapat berdiri teguh dan terus hidup di celah-celah kemajuan
negara. Namun, pertolongan UMNO itu sentiasa dipandang serong sebagai
berunsur rasisme dan juga kronisme. Oleh
itu, UMNO sentiasa dipaksa untuk menepis dan membela diri walaupun hakikatnya
apa yang dilakukan adalah murni serta menjadi kunci keamanan, kestabilan dan
kemakmuran negara ini.
Walau bagaimanapun,
akhir-akhir ini, UMNO dilihat semakin ‘segan’
untuk membela diri malah turut menerima tuduhan rasisme dan kronisme
sebagai benar. Justeru, terdapat asakan dari dalam UMNO sendiri untuk
berubah, untuk ‘transform’ atau ‘reform’ sepenuhnya agar lebih ‘relevan’ dan tidak perlu lagi ‘defensive’ atau ‘apologetic’ kepada sesiapa.
Kemenangan Khairy
Jamaluddin dalam pemilihan sayap UMNO semalam dilihat sebagai isyarat jelas
bahawa orang-orang UMNO sendiri sudah bersedia untuk berubah. Ini kerana
Khairy Jamaluddin merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang pertama
memperjuangkan pegangan liberal centrist secara terbuka.
Beberapa kali Khairy
menyatakan yang beliau ingin menjadi Ketua Pemuda BN dan bukan UMNO semata-mata. Cita-cita
Khairy untuk melonggarkan keMelayuan
UMNO bukanlah rahsia. Malah, Khairy juga tidak segan silu
mengambil seorang DAP tegar sebagai Setiausaha Akhbarnya, iaitu Regina Lee.
Rakan-rakan lama
Khairy ada menceritakan bagaimana sejak dulu lagi Khairy mengimpikan ‘United Malaysians National Organisation’
untuk UMNO iaitu tiada lagi ‘Malays’
dalam prinsip perjuangannya. Ini kerana Khairy dikatakan tidak suka
melihat orang-orang Melayu terus memakai tongkat
kerana ia bermakna ketidakadilan terhadap kaum lain.
Di masa yang sama
Khairy turut mesra PKR di mana beliau secara sukarela dan bangga menghantar
passport kepada Anwar Ibrahim sejurus selepas Anwar dibebaskan suatu ketika
dahulu.
Walaupun Khairy
dikatakan membelakangkan kehendak akar umbi UMNO, tetapi dengan sokongan padu
yang diberi kepada Khairy dalam pemilihan kali ini, membuktikan
sebaliknya. Jelas, cita-cita Khairy turut dikongsi oleh semua Pemuda UMNO
di mana beliau menyapu bersih undi dalam pemilihan kali ini.
Nampaknya, Pemuda
UMNO nampaknya sudah bersedia untuk melepaskan ‘tongkat’ dan bersaing secara terbuka atas lantai yang sama rata
dengan bangsa lain. Mungkin ada yang melihat perkembangan ini sebagai
berbahaya kepada orang-orang Melayu dan juga kestabilan negara.
Tetapi, dari satu
segi, ini mungkin merupakan satu-satunya cara untuk mengubah mentaliti
orang-orang Melayu yang terlalu bergantung kepada tongkat kerajaan. Setelah
puas para pemimpin kita menegur, memarahi malah menangisi nasib bangsa ini,
maka sampailah masanya untuk orang-orang Melayu ‘dihukum’ kerana enggan berubah.
Walaubagaimanapun,
kita harap Khairy benar-benar melakukan perubahan dengan bermula dari dalam
Pemuda UMNO sendiri. Dalam konsep liberal centrist yang didokong beliau, di
mana Melayu bukan lagi ‘subjek’ utama,
maka Khairy harus memastikan yang kerajaan merampas kembali semua tongkat,
terutamanya yang diberi kepada kontraktor-kontraktor UMNO.
Inilah masanya
kontraktor UMNO diajar untuk bersaing secara terbuka dengan kaum
lain. Pemuda-pemuda UMNO wajib menunjukkan contoh kepada masyarakat Melayu
tentang konsep keterbukaan yang sebenar-benarnya, serta melupakan perniagaan
‘alibaba’ kerana sistem kuota adalah rasis dan tidak sesuai lagi.
Seharusnya, Khairy
tidak akan menghadapi masalah untuk melakukan semua ini kerana beliau mendapat
sokongan Pemuda secara total. Dengan cara ini, transformasi yang diilhamkan
oleh Dato’ Seri Najib menjadi sempurna di mana tiada lagi kronisme, tiada lagi
rasisme, dan tiada lagi Melayu bagi UMNO.
Sesungguhnya
kemenangan Khairy adalah sesuatu yang tepat bagi UMNO, bangsa Melayu dan negara
ini. Yang
tinggal kini hanyalah perlaksanaannya sahaja iaitu di mana harus pertama sekali
membuang tongkat yang diberi kepada Pemuda UMNO demi menepati konsep ‘centrist’ yang tidak lagi mengutamakan
Melayu. Bolehkah
Khairy melakukannya?
No comments:
Post a Comment