23 October 2013

Akim Masih Cuba Sorok Hubungan Dengan Stacy




Banyak cerita tentang pasangan penyanyi Stacy Angie dan Akim Ahmad yang dikatakan bercinta tetapi disorokkan apabila masing-masing berdolak-dalik bila ditanya mengenai perasaan mereka terhadap satu sama lain.

Bila ditanya, jawapan yang sama diberikan iaitu hanya sekadar kawan tetapi nampaknya hubungan sekadar kawan mereka ini sangat rapat. Masakan tidak, kedua-duanya sudah bertemu dengan keluarga masing-masing ibarat seperti meminta keizinan daripada kedua orang tua untuk bercinta.


Malah, kisah cinta yang tidak pasti ini semakin kuat apabila Akim dalam kenyataannya sebelum ini tidak menolak seandainya Stacy ditakdirkan menjadi suri dalam hidupnya. Akim juga sempat berseloroh sebelum ini mengatakan bahawa dia akan merisik Stacy bila dia menjemput Stacy menyambut Aidilfitri yang lalu bersama.

Bertemu dengan Stacy di Pameran Young Malaysian Artist, Galeri Petronas, baru-baru ini, soalan tentang sejauh mana hubungan mereka kini diajukan. Adakah sudah dirisik atau belum?

Seperti yang dijangka, Stacy menyangkal dakwaan mengenai kisah cinta dan menyatakan jalinan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar persahabatan sahaja.

"Daripada dulu lagi saya dah cakap, hubungan kami memang sekadar kawan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Orang luar yang suka bercerita mengenai kami yang dikatakan bercinta, hakikatnya saya belum ada sesiapa lagi di hati.

"Tambahan pula dengan waktu sekarang ini fokus saya hanya pada kerjaya nyanyian dan itu lebih utama untuk saya mengembangkan lagi kerjaya sendiri," katanya yang tampil dengan imej rambut baru.

Jelas Stacy lagi, dia juga sudah lama tidak bertemu dengan Akim kerana kesibukan kerja.

"Lama juga saya tidak berjumpa dengannya. Rasanya sejak awal tahun lagi kami tidak berjumpa kerana sibuk dengan kerja," ujarnya.

Malah, ditanya mengenai kenyataan Akim yang menyatakan keinginannya untuk merisik Stacy dalam nada berseloroh juga membuatkan dirinya keliru. Menyambung bicara, ujar Stacy, dia sebenarnya keliru dengan kenyataan Akim kerana mereka sudah lama tidak berhubungan dan Akim secara mengejut mengeluarkan kenyataan demikian walaupun dalam nada berseloroh.

"Sebenarnya bila dapat tahu yang dia secara mahu merisik saya walaupun dengan nada bergurau, rasa terkejut dan keliru. Sepanjang saya berkawan dengannya dan selama kami berjumpa, kami tidak pernah bercakap mengenai perkara melibatkan perkahwinan.

"Dengan situasi yang kami sudah lama tidak berjumpa dan secara tiba-tiba kenyataan itu dikeluarkan itu yang membuatkan saya rasa keliru," katanya.

Jelas Stacy lagi, sepanjang berkawan dengan Akim, memang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berumah tangga apatah lagi dia sendiri belum sedia untuk bergelar isteri kepada sesiapa sahaja buat masa ini.

"Buat masa ini, memang saya tidak pernah terlintas untuk bergelar isteri kepada sesiapa sahaja kerana perjalanan seni saya masih lagi jauh," ujarnya.


Keluarga memahami

Mengulas lanjut mengenai mengenai kisah cinta itu, jelas Stacy, keluarganya mengetahui tentang apa yang dinyatakan oleh Akim dan mereka tidak kisah dengan perkara itu.

"Keluarga saya faham situasi yang berlaku sekarang dan mereka juga tidak kisah kerana mereka tahu antara kami tidak ada yang serius," jelasnya.

Ketika ditanya, tidakkah Stacy menghubungi Akim kerana kenyataan yang dikeluarkan itu, jelas Stacy, dia ada terfikir untuk menghubunginya, tetapi tidak sempat dek kerana kesibukan kerja.

"Cuma apa yang saya harap, dia dapat perbetulkan situasi yang sedia ada dan berharap orang luar tidak terlalu mempercayai desas-desus mengenai hubungan cinta kami. Selama ini, banyak kenyataan tentang hubungan kami dikeluarkan oleh Akim tetapi itu tidak bermakna kami sedang bercinta atau sebagainya," ujarnya.

Tambah Stacy, tidak bermakna hubungan mereka rapat akan berakhir hingga ke jenjang pelamin, sebaliknya cukup sekadar kawan rapat sahaja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...