Jika tiada pendedahan oleh media, bermakna kisah perkahwinan dua pelakon
kontroversi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal akan terus menjadi rahsia. Rahsia itu
mungkin akan tersimpan hingga 2015, tahun di mana Wawa mengakhiri kontraknya
sebagai artis di Metrowealth International Group (MIG) milik David Teo.
Tetapi pada Jumaat lalu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25,
mengakui dia dan Wawa sebenarnya sudah bernikah secara sembunyi pada 25
Februari pada tahun lepas.
Tetapi pernikahaan pada tahun lalu itu tidak didaftarkan dengan mana-mana
majlis agama Islam menyebabkan pasangan itu tidak dapat mendaftarkan anak
mereka. Sehubungan itu mereka bernikah sekali lagi pada 4 Februari lalu bagi
melayakkan anak pertama pasangan itu yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar
'dibinkan' kepada Aeril.
Kita lupakan soal pernikahan sebanyak dua kali ini yang pada Hits
hanya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apa yang menjadi tanda tanya ialah
begitu besarkah pengaruh penerbit, David Teo kepada Wawa sehingga memaksa
berkahwin secara rahsia?
Sebagai pasangan suami-isteri dan selepas itu menjadi ibu bapa, tidak Aeril
dan Wawa memikirkan kesan negatif terhadap anak mereka? Menjawab soalan itu
Aeril memberitahu, dia hanya menghormati keputusan Wawa yang mahukan pernikahan
ini dirahsiakan.
Sambil mendakwa mereka berada dalam keadaan 'darurat', bagi Aeril keputusan
yang dibuat bersama isterinya itu dilihat satu tindakan yang bijak di pandangan
matanya.
"Ini semua kerana hormati keputusan Wawa kerana takut dia dimarahi
pihak pengurusannya. Seperti yang kita tahu pihak pengurusan Wawa tidak
membenarkan Wawa bercinta, apatah lagi berkahwin.
"Bagi saya ini keadaan 'darurat'. Sebab itu kami kena rahsiakan. Dan
tidak timbul masalah untuk menafikan hubungan kami sebelum ini kepada pihak
wartawan," katanya.
Menjelaskan keadaan pernikahan pertama dan keduanya dengan Wawa, Aeril
mendakwa kedua-dua pernikahan itu sah dari sudut agama.
"Pernikahan kali pertama itu dibuat bagi menghalalkan hubungan kami.
Dan seperti pasangan suami isteri yang lain, memang kami merancang untuk ada
anak.
"Apabila mendapat tahu Wawa mengandung, kami tahu pernikahan kami
perlu disahkan untuk memastikan anak itu dibinkan saya. Sebab itu saya ambil
keputusan untuk ke kursus perkahwinan dan meneruskan pernikahan kali kedua yang
berlangsung di Masjid Jumuriah Taman Dato Harun dan dinikahkan sendiri oleh
Imam masjid tersebut," katanya.
Menganggap dirinya berada di medan peperangan, kata Aeril situasi itu
membolehkan dia mengaburi pihak musuh dengan penipuan. Menjelaskan pernikahan
pertama sama tarafnya dengan perkahwinan kedua, baginya tiada kesalahan buat
dirinya menikahi wanita yang sama.
"Salahkan saya menikahi wanita yang sama? Kami berada dalam keadaan
darurat. Kamu semua tidak berada dalam situasi kami, jadi tidak faham,"
katanya, merujuk kepada pihak media yang hadir dalam sidang akhbar berkenaan.
Menjelaskan kedudukan anaknya yang kini berusia tujuh minggu, menurut Aeril
tiada apa yang lebih menyedihkan selain melihat anaknya itu dituduh dengan
pelbagai kata-kata cemuhan.
"Saya nyatakan anak saya itu sah. Tetapi adalah menyedihkan untuk
mengetahui penyebaran berita ini tanpa melalui saya dahulu.
"Sebenarnya memang kami sudah merancang untuk mengadakan sidang akhbar
mengenai hal ini, apabila Wawa tamat kontrak dengan pihak pengurusannya,"
katanya.
No comments:
Post a Comment