Ramai yang menjangkakan pemilihan Umno
pada kali ini bakal menyaksikan satu pertandingan yang sengit khususnya di
kalangan parti pembangkang. Mereka mengharapkan agar jawatan Presiden Umno yang
kini disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di cabar oleh pemimpin lain
dalam pemilihan parti yang akan datang.
Berpaksikan kepada alasan pencapaian yang kurang
memberangsangkan ketika pilihan raya yang lalu, mereka mengharapkan para
perwakilan Umno akan membuat keputusan untuk menyingkirkan Najib seperti yang
pernah dilakukan kepada Pak Lah.
Tidak kurang juga, ada yang mula merasakan kegagalan
Najib, perlu dihukum dengan menggantikannya dengan calon yang lebih bersifat ‘ultra
Melayu’. Ekoran dari beberapa tindakan Najib sebelum ini yang dilihat gagal
menarik kembali sokongan masyarakat Cina walaupun telah melakukan pelbagai
program untuk kumpulan etnik tersebut.
Namun usaha mereka nyata sia-sia apabila semakin ramai
pimpinan Umno tampil mengeluarkan kenyataan, meminta agar kedua-dua jawatan
tertinggi itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang akan datang.
Sebagai contoh, Pergerakan Puteri Umno ketika ditemui
turut menyokong usul tersebut kerana merasakan parti terbesar untuk kaum Melayu
ini sedang melalui satu proses transformasi. Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul
Rashid Shirlin menegaskan negara baru sahaja melalui satu proses pilihan raya
dan menjadi tanggungjawab pimpinan semua peringkat kembali menguatkan parti
ini.
"Umno tidak pernah menghalang sesiapa sahaja menawarkan diri untuk
untuk bertanding jawatan tertinggi parti, namun pada pendapat saya Najib adalah
presiden yang terbaik pada Umno dalam usaha memastikan survival parti selepas
pilihan raya” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak
Global Wanita 2013 sebentar tadi.
Beliau turut menegaskan gandingan antara Datuk Seri Najib dan Tan Sri
Muhyiddin dilihat mantap dan dirasakan perlu dikekalkan untuk terus menerajui kepimpinan
Umno dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Usul tersebut turut disokong oleh Pergerakan Permuda Umno yang mengharapkan
agar parti tersebut memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan
parti.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika membuat kenyataan sejurus
selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda petang tadi mengatakan mahu
melihat agenda transformasi menjadi keutamaan parti dan bukannya isu politik
dalaman dan politik pemilihan.
No comments:
Post a Comment