18 June 2013

PRU : Yang Berhormat Atau Yang Berkhidmat


Adakah rakyat Malaysia akan terus ‘berpolitik’ sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14? Bilakah masa wakil rakyat yang dipilih mewakili BN, DAP, Pas dan PKR mahu bekerja untuk rakyat dan pengundi-pengundi? Seminggu berlalu, masih ada yang tidak puas hati dengan keputusan PRU memihak kepada BN di peringkat Pusat dan pakatan 3P - DAP, Pas, PKR di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.


Diketuai oleh Anwar Ibrahim, pakatan 3P mengadakan perhimpunan ‘haram hitam’ yang mempertikaikan perjalanan PRU-13. Ketika DAP sudah membentuk kerajaan dengan melantik semula Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri, pakatan masih ‘berkokok’ di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dengan mendakwa PRU tidak bersih. Road show ini akan diteruskan di lokasi lain. 

Begitulah suasana politik pada hari ini. Apakah PRU bertukar bersih sekiranya 3P menyapu bersih kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri? Adakah PRU yang didakwa ‘hitam’ menjadi ‘putih’ apabila Anwar melangkah ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri? Disebabkan gagal untuk ubah BN kepada pembangkang dan kegagalan ‘bersihkan’ Malaysia dari kuasa BN, maka PRU didakwa tidak adil, tidak bersih. Entah apa akan terjadi jika DAP gagal bertahan di Pulau Pinang dan Pas tewas di Kelantan. 

Sebenarnya, BN juga terkejut dengan keputusan PRU lalu terutama di beberapa kawasan tetapi tidaklah ‘melompat’ ke sana sini dengan mendakwa kemenangan calon tertentu sebagai satu penipuan.

Sebelum pengumuman calon, ada pemimpin BN yang membayangkan berlaku kejutan dalam senarai calon. Memang ada kejutan. Keputusannya juga satu kejutan. Pada peringkat awal, pemimpin begitu yakin dengan calon pilihan mereka tetapi akhirnya ramai yang tewas. Tidak pasti sama ada ketika mengemukakan calon, pemimpin parti masing-masing yakin menang atau senarai calon yang diturunkan sekadar ‘simpanan tetap’ untuk ‘dikeluarkan’ dalam pemilihan parti akan datang. Pada hal mereka seharusnya ingat PRU kali ini amat penting, sekurang-kurangnya ‘bertahanlah’ untuk kali ini. Apa pun, pengundi sudah membuat keputusan. Mereka berhak memilih sama ada atas faktor calon atau parti. Ada yang memilih parti atau calon dan ada pula yang memilih kedua-duanya.

Selak sebelum ini pernah melontarkan persoalan sama ada Lim Kit Siang dipilih kerana namanya, jawatan atau roket. Mereka memilih kedua-duanya. Kit Siang boleh bertanding di mana sahaja bersama roket dan menang. Beliau sebelum ini hanya tewas di Bukit Bendera kepada Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye pada 1999 sebelum berhijrah ke Ipoh Timur. Tetapi penampilan pertama di satu-satu kawasan menghasilkan kejayaan. 

Contohnya di Pulau Pinang, bermula 1986 melalui Projek Tanjong I diikuti 1990 dan 1995. Tahun 1990, beliau mengalahkan Dr. Lim Chong Eu yang memimpin Pulau Pinang selama 21 tahun. Bermula dari situ, pengaruh DAP semakin kuat walaupun merosot pada 1999 dan 2004 tetapi bangkit garang pada PRU 2008 sehingga membentuk kerajaan negeri. Kini Kit Siang sekali lagi mengalahkan pemimpin peringkat negeri, iaitu Abdul Ghani Othman yang memimpin Johor selama 18 tahun.

DAP juga menguasai empat kerusi Parlimen dan 14 DUN, pencapaian yang tidak pernah berlaku di negeri yang dianggap sebagai ‘jantung hati BN’ dan ‘tiang seri UMNO’. Adakah ini petanda awal Johor juga bakal menjadi seperti Pulau Pinang dan Selangor? Kemungkinan yang tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. 

Mungkin kekalahan Abdul Ghani bukanlah satu kejutan besar disebabkan majoriti pengundi di situ adalah Cina. Tetapi di Bukit Katil, Melaka, seorang lagi pemimpin yang tidak kurang hebatnya dalam membangunkan negeri tewas. Selama 13 tahun, Ali Rustam membangunkan Melaka, akhirnya beliau kecundang. Kenapa ini berlaku kepada pemimpin seperti Chong Eu, Ghani dan Ali? 

Adakah pengundi sekarang sudah tidak peduli lagi semua sumbangan itu? Adakah jasa, perkhidmatan dan bakti sudah tidak bernilai dan tidak mampu lagi menjamin kemenangan? Adakah PRU sekadar untuk memenangkan parti demi kuasa?

Lihatlah keputusan PRU lalu. Banyak pihak yang selama ini gigih berkhidmat untuk masyarakat setempat tewas sebaliknya mereka yang baru muncul semasa musim kempen PRU menang dengan selesa. Akhirnya banyak pemimpin atau pekerja parti yang berhasrat mahu menutup pusat khidmat masing-masing. Eloklah hasrat itu difikirkan semula kerana sudah tentu penyokong sebenar mereka masih memerlukan perkhidmatan. Jika jasa dan perkhidmatan tidak boleh menjamin kemenangan, maka benarlah kata sesetengah pihak bahawa jika diletak anjing pun boleh menang. 

Begitu juga, ada yang berkata, beliau boleh menang hanya dengan meletakkan bajunya sebagai ‘calon’. Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan pengundi tidak peduli lagi kerja yang dilakukan pemimpin. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang mahu dipilih dalam PRU? Wakil rakyat yang sekadar bergelar ‘Yang Berhormat’ atau ‘Yang Berkhidmat’? Di sesetengah kawasan, pengundi mungkin tidak peduli lagi ‘Yang Berkhidmat’ kerana segala keperluan sudah tersedia. Mereka hanya perlu ‘Yang Berhormat’ yang cukuplah tunjuk muka sekali-sekala, lebih kerap menjelang PRU dan selepas PRU, hilang. 

Ada juga yang menang hanya ghairah ‘turun padang’ untuk berceramah. Masalah penduduk jatuh nombor dua atau serah kepada orang lain terutama kerajaan yang memerintah. PRU bukan lagi soal pembangunan dan perkhidmatan yang diberi. Sudah tidak ada nilai-nilai berterima kasih kepada orang yang memberi sebaliknya tangan yang memberi itu akan ‘digigit’. Tidak ada lagi konsep orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Perasaan perkauman, fitnah, maki hamun dan cerita dongeng semasa PRU yang dicetuskan melalui ceramah atau media sosial sudah meresap atau ‘merasuk’ mereka yang mendengar dan membacanya. Akhirnya ia menjadi seperti ‘api dalam sekam’. 

Sesuatu harus dilakukan supaya keadaan tidak bertambah buruk akibat provokasi melampau ini. Pada PRU-14, generasi yang sempat merasai suasana ‘tegang, cemas dan susah’ suatu masa dulu dan golongan yang ‘makan garam terlebih dahulu’ semakin kurang. Perlahan-lahan peranan mereka akan diambil alih generasi yang lahir ‘di atas dulang yang serba-serbi sudah tersedia’ di depan mata. Mereka tidak mahu lagi menoleh sejarah silam yang ‘sukar dan susah’. Mereka ghairah mahu mencuba sesuatu yang baru. Tetapi sejauh mana kesediaan mereka untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain? Malang bagi orang Melayu yang sekadar mahu berubah tetapi keupayaan mereka masih terbatas dalam bidang ekonomi atau ilmu. 

Kepada orang Melayu, cerdiklah ketika berpolitik. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai; kalah jadi abu, menang jadi arang. Jangan dilupakan kisah teladan masa dulu-dulu termasuklah Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...