Media propaganda
dan alat fitnah pakatan pembangkang pastinya sudah mampu menarik nafas
lega apabila kerajaan memutuskan untuk tidak mengikuti langkah negara
jiran, Singapura yang sebelum ini mengambil langkah mendaftarkan semua
portal berita di negara itu.
Berkuatkuasa 1 Jun yang lalu, kerajaan
Singapura telah mengenakan syarat baharu pelesenan terhadap portal
berita yang sering memuat naik isu berkaitan republik itu dan mempunyai
sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung sebulan, untuk mendapatkan lesen
tahunan daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA). Dasar baru Parti
Tindakan Rakyat Singapura (PAP) itu dilihat bertujuan untuk mengawal
penentangan dari kalangan pengguna internet.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Malam
Kewartawanan Malaysia 2013 malam tadi.
Kerajaan tidak akan melesenkan portal
berita namun bagi memelihara keharmonian nasional kerajaan akan
menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang cuba menanamkan
perpecahan menggunakan elemen ras, agama, bahasa serta cuba
memperkecilkan institusi raja berpelembagaan mahukan cuba jejaskan
sistem demokrasi berparlimen akan diambil tindakan sesuai dengan
peruntukan undang-undang.
Selain daripada itu, Perdana Menteri
turut mengingatkan agar pengamal media tidak menyalahgunakan kuasa yang
ada. Malah beliau turut menegaskan landskap media dan organisasi berita
di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dengan kehadiran
media dalam talian melengkapi media cetak dan media elektronik sedia
ada.
“Untuk demokrasi benar-benar berfungsi
seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang
kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang
mahupun menyalahgunakan kuasa,” katanya lagi.
Ekoran pendekatan baru yang diambil oleh
Singapura itu, Menteri Komunikasi Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek sebelum ini mengatakan kerajaan mungkin akan menimbang keperluan
untuk mewujudkan undang-undang seperti itu di negara ini.
Mungkin kerana takut dan risau dengan
kenyataan yang dikeluarkan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
pantas mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang bakal diambil itu.
Pelbagai alasan terpaksa diguna pakai seperti hak bersuara, kebebasan
media dan sebagainya bagi menggesa kerajaan menolak pendekatan tersebut.
Sekiranya diteliti kenyataan yang
mempunyai nada takut itu, ia jelas membuktikan pakatan pembangkang takut
dengan bayang-bayang sendiri. Sekiranya benar media pakatan pembangkang
telus dan mempunyai kredibiliti dasar baru tersebut seharusnya menjadi
mimpi ngeri buat Umno dan Barisan Nasional.
Ini kerana pembangkang sebelum ini
berulang kali mengatakan media Umno/BN sering melaporkan berita yang
palsu dan salah. Tambahan pula menteri hanya mengatakan kerajaan akan
menimbang keperluan tersebut dan bukannya memutuskan untuk mengambil
langkah dan pendekatan yang serupa.
Persoalannya siapa yang sering menipu
dan melaporkan berita fitnah? Apakah media kawalan Umno/BN atau media
yang pro pembangkang? Jawapannya mudah ‘Berani Kerana Benar, Takut
Kerana Salah’.
No comments:
Post a Comment