21 June 2013

Sekolah Vernakular Menghalang Perpaduan Kaum




Selari dengan pendirian yang dikeluarkan sebelum ini, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Mohd. Noor Abdullah petang semalam agar kerajaan mengambil satu pendekatan yang dinamik agar sekolah vernakular di negara ini diberi penjenamaan semula untuk memupuk perpaduan kaum.

Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantaraan dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan di sekolah. Terma tersebut merujuk kepada sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil di negara ini.

Menurut Mohd Noor, terma vernakular "Sekolah Jenis Kebangsaan" ditukar kepada terma baru "Sekolah Kebangsaan" ataupun "Sekolah Kerajaan" bertujuan supaya sistem persekolahan negara tidak hanya khusus kepada suatu kaum sahaja.

“Kita tukarkan sekolah jenis kebangsaan ini kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja yang telah sekolah kebangsaan sediakan, sekolah jenis kebangsaan tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan” katanya ketika berucap dalam satu forum bertajuk "Kedudukan Sekolah Vernakular dari Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan".

Beliau turut menjelaskan, cadangan itu bukan bermaksud untuk menutup sekolah-sekolah tersebut tetapi lebih menjurus supaya sistem persekolahan negara tidak hanya khusus kepada suatu kaum sahaja. Malah menurutnya lagi sokongan serta bantuan kerajaan terhadap sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah menyebabkan golongan minoriti yang lain terabai.

Mohd Noor berkata kerajaan telah menjadikan masyarakat Cina dan Tamil "istimewa" dengan hanya memberi sokongan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), tetapi tidak bahasa etnik lain.

"Bagaimana pula dengan bumiputera di Sabah dan Sarawak? Kerajaan tidak menubuhkan atau membantu menubuhkan SJK Telegu, Malayalam, Punjabi, Urdu, Siam dan sebagainya," kata Mohd Noor, yang mengatakan bahawa Orang Asli sepatutnya lebih istimewa daripada semua masyarakat lain.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu sebelum ini telah menimbulkan sedikit kontroversi apabila mengatakan sistem pendidikan berasaskan vernakular tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang berkata demikian di dalam satu forum yang bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" pada 12 Mei lalu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat khususnya Cina.

Namun begitu, ramai di kalangan pimpinan NGO Islam dan Melayu tampil membuat gesaan menyokong langkah tersebut sebagai salah satu usaha untuk menyatupadukan antara kaum. Ini kerana keputusan pilihan raya umum yang lalu telah menyaksikan penolakan secara total masyarakat Cina kepada parti pemerintah.

Malah menurut statistik hanya lebih kurang 3 peratus sahaja undi telah diberikan kepada Barisan Nasional ekoran isu perkauman yang dicetuskan oleh pakatan pembangkang sepanjang tempoh kempen dijalankan. Ditambah dengan pendekatan askar upahan DAP, ‘Red Bean Army’ yang berterusan memainkan sentimen perkauman, ia telah mewujudkan suasana sedikit suasana kurang selesa antara kaum Melayu dan Cina di negara ini.
Selain Mohd Nor, Tokoh Pendidik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad sebelum ini turut melahirkan kebimbangan dengan berhubung perkara yang sama. Malah menurutnya perpaduan nasional hanya akan menjadi impian yang tidak tercapai selagi sekolah vernakular kekal di negara ini.

"Kita kena fikir satu sistem dari awal, kalau kita teruskan sekolah jenis kebangsaan, peratusan bukan bumiputera dalam sekolah kebangsaan cuma tiga peratus sahaja. Di mana akan tercapai perpaduan? Kalau ini kekal, kita boleh laung perpaduan berkali-kali, barangkali kita hanya bermimpi," katanya.

Malaysia adalah merupakan satu-satunya negara di seluruh dunia yang memberikan kelonggaran dengan mewujudkan sekolah vernakular yang dibiayai oleh kerajaan. Malah kerajaan Singapura yang mempunyai populasi penduduk seramai 80 peratus dari kaum Cina juga tidak mengamalkan sistem pendidikan yang mengutamakan subjek pelajaran Cina.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...