Sudah jatuh ditimpa tangga. Mungkin itu
antara peribahasa yang sesuai diberikan kepada Naib Presiden Pas, Datuk Husam
Musa yang buat kesekian kalinya di timpa malang yang tidak kunjung sudah. Ia
ekoran dari laporan berita hari ini yang memaklumkan mengenai kekalahannya
dalam kes saman fitnah RM10 juta terhadap New Straits Times Press (M) Bhd
(NSTP), dan empat yang lain berhubung penyiaran satu artikel mengenainya.
Menurut Dr. Zulqarnain Lukman, peguam
yang mewakili Husam, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong
membuat keputusan di dalam kamarnya bahawa artikel itu tidak bersifat
memfitnah. Lee juga katanya memutuskan bahawa kalaupun artikel itu berbaur
fitnah, mahkamah mendapati perlindungan bersyarat dan kewartawanan secara
bertanggungjawab yang dijadikan alasan dalam pernyataan bela diri defendan,
adalah terpakai dalam kes ini.
Zulqarnain turut memberitahu pemberita, mahkamah berpendapat pihaknya telah
gagal membuktikan kes. Ini kerana menurut peguam tersebut, mahkamah berpendapat
artikel itu lebih berbentuk pujian kepada Husam dan bukannya memfitnah beliau.
Berita kekalahan itu, sudah pasti akan menambah
luka di hati Husam yang dikecewakan buat kesekian kalinya. Masakan tidak, ketika
PRU-13 Husam terpaksa mengambil satu risiko yang amat besar dalam karier
politiknya semata-mata untuk mengampu Anwar dengan bertanding di kerusi
parlimen Putrajaya. Ia dilakukan semata-mata untuk menunjukkan tahap kesetiaannya
sebagai pencacai Anwar di Pas atas alasan menjadi pembuka kunci ‘gerbang’
Putrajaya.
Tetapi Husam hanya mampu merancang,
namun Allah swt adalah sebaik-baik perancangan. Kehendak dan perancangan Husam
nyata gagal apabila dia tewas mudah dengan penyandang kerusi tersebut, Datuk Sri
Tengku Adnan Mansor yang telah lama
dikenali para pengundi di sana.
Malah sebelum ini, sebaik sahaja mengumumkan
akan menentang Ku Nan di Putrajaya ramai penganalisa politik telah meramalkan akan
kekalahan Husam. Selain merupakan kubu kuat Umno, umum mengetahui majoriti pengundi
Putrajaya adalah merupakan kakitangan kerajaan yang lebih cenderung menyokong
parti Barisan Nasional.
Namun ia tetap tidak menghalang Husam
untuk menunjukkan ‘taat setianya’ kepada Anwar sehingga ada yang mengatakan
tindakan bekas Exco Kelantan itu semakin menguatkan andaian tentang pengaruh ‘Anwarinas’
di dalam Pas.
Kecewa dengan kekalahan tersebut, Husam mengharapkan
sinar baru dalam perjalanan karier politiknya. Namun apakan daya dia sekali
lagi dia terpaksa berputih mata dan memendam rasa apabila terpaksa akur dengan
kehendak dan permintaan Tuanku Sultan Kelantan yang menolak untuk menyambung
tugasnya Husam sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurut sumber, antara sebab Tuanku
Sultan Kelantan menolak perlantikan semula Husam sebagai Exco ialah, dia sering
dikaitkan dengan amalan rasuah yang melampau terutama dalam isu balak dan
perlombongan di Kelantan. Malah dia juga dikatakan sering menggunakan nama
bonda Sultan Kelantan (Tengku Anis) bagi mengutip dana daripada tauke-tauke
balak dan pemaju pembangunan.
Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah dikaitkan
dengan isu mendapatkan khidmat bomoh daripada Thailand untuk menyihir bonda
Sultan Kelantan. Namun semua yang dikatakan itu hanyalah merupakan cerita ‘kedai
kopi’ yang mungkin sukar untuk dibuktikan. Apa pun alasannya hanya Tuanku
Sultan Kelantan dan Husam sahaja yang tahu tentang perkara sebenar.
Apa pun alasannya, semua peristiwa yang
dikatakan tadi bakal menyebabkan Husam berdepan dengan masalah besar untuk
mempertahankan jawatannya di dalam pemilihan parti Pas yang dijangkakan akan
diadakan pada tahun ini.
Laporan kekalahn demi kekalahan yang
dialaminya ini sudah pasti akan menjejaskan imejnya di kalangan para perwakilan
Pas yang akan dipertanggungjawabkan untuk memilih pucuk pimpinan parti itu. Namun
semuanya bakal berubah sekiranya bekas Menteri Besar Kelantan yang juga
merupakan Mursyidul Am Pas tampil menyelamatkan Husam.
Sekiranya Nik Aziz tidak memberikan ‘restunya’
sebagai ‘kuda tempang’ yang tidak
memegang sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri Kelantan, Husam sudah hampir
pasti akan dikapankan oleh para perwakilan Pas.
Apa pun kesudahannya sama-samalah kita
saksikan. Apakah ‘talian hayat’ berjaya
menyelamatkan karier politiknya atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment