12 June 2013

Gabungan NGO Melayu-Islam Desak Kerajaan Hapus Sekolah Vernakular




Gabungan NGO Melayu-Islam hari tampil membuat kenyataan mendesak kerajaan agar menimbangkan cadangan untuk menghapuskan SEMUA sekolah vernakular bantuan kerajaan sebagai satu usaha untuk mewujudkan ‘Penyatuan Nasional’ (National Reconciliation). Menurut jurucakap NGO berkenaan, Datuk Nadzim Johan semua ahli yang bergabung telah membuat ketetapan dan keputusan tegas bahawa langkah pertama yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah menangani isu kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara ini.

“Setelah membuat kajian rapi bersama-sama beberapa tokoh Tionghua dan Tamil, kami mendapati  kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini telah menjadi batu penghalang kepada sebarang usaha murni untuk menyatupadukan rakyat Melayu dan bukan Melayu di negara sejak Merdeka” menurut beliau melalui kenyataan yang dikirim petang tadi.

Nadzim mengatakan, mereka yakin isu sekolah vernakular ini telah sekian lama menjadi polemik yang memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian kaum jika tidak diselesaikan dengan segera.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi apa jua langkah serta tindakan yang di ambil bagi mencapai aspirasi ini mesti dilakukan berlandaskan kepada kerangka dan peruntukan Perlembagaan Malaysia sebagai perundangan paling tinggi di negara ini.

Gabungan NGO Melayu-Islam adalah merupakan gabungan NGO yang terdiri daripada 130 pertubuhan bukan kerajaan. Antara ahli gabungan NGO tersebut adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Suara Anak Muda 1Malaysia, Majlis Belia Palestin Malaysia, Kelab Wartawan Muda Malaysia, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Sekretariat NGO Negeri Selangor, Pertubuhan Seni Silat Kalam dan Persatuan Permuafakatan Wangsa Malaysia.

Menurut Nadzim lagi Gabungan NGO tersebut, turut menggesa pihak kerajaan agar mewujudkan satu aliran sekolah kebangsaan untuk semua lapisan masyarakat di mana semua pelajar belajar di bawah satu bumbung, bermain dan bersukan di dalam satu padang dan gelanggang yang sama, makan dan minum di kantin yang sama, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Gesaan ini dibuat ekoran dari beberapa tindakan yang diyakini merupakan sesuatu yang terancang dan secara spesifik mensasarkan umat Islam di negara ini dengan objektif utama untuk menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat majmuk di negara ini yang akhirnya boleh menjurus kepada konflik antara kaum.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan juga, Gabungan NGO Melayu-Islam turut menjelaskan pasca PRU13 menunjukkan peningkatan serangan terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Sebagai contoh, minggu lalu umat Islam yang sentiasa cintakan keamanan, perpaduan dan keharmonian antara bangsa Melayu dan bukan Melayu di negara ini dikejutkan dengan penghinaan melampau terhadap sosok peribadi DYMM SPB Yang D-Pertuan Agong di dalam laman media sosial Facebook.

Dan yang terbaru, satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang individu yang menghina Nabi Muhammad saw di dalam komen yang dipaparkan dalam medium yang sama.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...