15 June 2013

Zambry Sedia Pecah Dominasi Najib


Perhimpunan Agung UMNO pada sesetengah orang mungkin masih panjang, 5 bulan lagi.  Tapi di akhir-akhir zaman ini, masa berjalan macam roket, sedar tak sedar dah sampai masa yang ditunggu-tunggu sangat oleh banyak pihak itu dah sampai saja dah.

Apatah lagi, perhimpunan agung kali ini tidak sama seperti perhimpunan agung 3-4 tahun yang sudah.  Perhimpunan kali ini mempunyai elemen yang ditunggu banyak-banyak pihak iaitu pemilihan parti, yang kali terakhir diadakan pada tahun 2009.

Pada waktu itu berlaku perubahan pada pucuk pimpinan negara dimana Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju Putrajaya dan UMNO berikutan pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sejak itu UMNO diterajui oleh barisan pemimpin yang sama memenangi pemilihan 2009.  Walaupun dikirakan sudah melepasi tempoh penggal jawatan masing-masing, tapi perlembagaan UMNO membenarkan keadaan tersebut (penangguhan pemilihan) atas pengecualian-pengecualian tertentu.

Justeru janganlah terkejut kalau persiapan untuk menghadapi pemilihan ini sedang berlaku di sana sini, tidak terkecuali dalam hal ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Zambry dikatakan sedang mengintai salah satu slot dari 3 jawatan Naib Presiden UMNO yang sekarang diisi oleh Datuk Seri Hishamudin Hussin, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Afdal,  Sebagai seorang pemimpin yang berasal dari Perak, ada kemungkinan besar Zambry sedang menyasarkan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi yang turut berasal dari negeri yang sama untuk ditumbangkan dalam pemilihan yang akan datang.

Dikatakan, tujuan Zambry mencabar Zahid, kerana beliau mahu mengurangkan pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO.  Umum tahu bahawa ketiga-tiga Naib Presiden ini sudah dicop sebagai orang Najib, sementara Zambry sendiri dikatakan kuat menyokong kem Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin.  

Malah, Zambry juga telah bertindak lebih jauh lagi apabila dikatakan membantu petisyen Pakatan Rakyat bagi kawasan parlimen Bagan Datuk yang dimenangi Zahid Hamidi dalam pilihanraya umum yang lepas.

Jika ini benar, maka hasrat sebahagian besar Badan Perhubungan UMNO negeri serta sayap-sayap parti yang mahu 2 jawatan tertinggi UMNO, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO nanti, akan menjadi sia-sia sahaja.  'Penempatan' Zambry dalam senarai pencabar jawatan Naib Presiden bagi mewakili kem Mahyuddin membuktikan bahawa Mahyudin memang berhasrat mahu mencabar Najib di kerusi nombor satu.

Walaupun UMNO tidak menghalang pertandingan dari diadakan, tapi ramai melihat pertandingan itu akan menjadi punca kepada perpecahan dalam UMNO, seperti apa yang berlaku dalam pemilihan 1987, 1999 dan sebagainya.  Bercakap tentang 1987, pertikaian oleh pihak plaintif dalam kes itu, telah membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988 dan UMNO baru terpaksa ditubuhkan.

Justeru, tidak hairanlah kenapa ramai bimbang UMNO akan kembali berpecah kalau pertandingan di peringkat tertinggi parti berlaku.

Apatah lagi berdasarkan pencapaian UMNO dalam pilihanraya umum yang lepas menunjukkan banyak peningkatan berbanding pada 2008, termasuk merampas negeri Kedah dan menang di Perak (pada 2008, BN kalah di Perak sebelum keputusan 3 ADUN Pakatan Rakyat untuk menjadi bebas, mengembalikan semula Perak kepada BN), ramai yang pelik kenapa keutuhan UMNO ini mahu diganggu dengan perpecahan akibat dari pemilihan dalam perhimpunan agung parti yang bakal dilaksanakan nanti.

Mungkin sudah sampai masanya UMNO mewujudkan satu jawatan khas seperti mana jawatan Ketua Umum yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PKR.  Ketua Umum ini bersifat seperti penasihat dan jawatannya tidak boleh dipertandingkan dalam  mana-mana pemilihat parti walaupun dari segi fizikalnya, adalah jawatan tertinggi dalam PKR, mengatasi Presiden sekalipun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...