21 June 2013

Bermulanya Perang Antara Kelompok Pro Ulama Menentang Anwarinas




Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sekali lagi mencetuskan kontroversi politik apabila bertindak mengeluarkan ‘fatwa’ baru dengan menyatakan sesiapa sahaja yang terkorban khususnya di kalangan pengikut Pas yang menyertai Himpunan Black 505 nanti akan dianggap syahid fi sabilillah. Paling menarik apabila Husam turut mengheret Mat Sabu dan parti Pas, bagi menarik perhatian pengikut parti itu agar termakan dengan umpan mengarutnya.

"Keputusan untuk menyertai himpunan ini bukan keputusan Husam Musa, bukan keputusan Haji Mohamad Sabu tetapi keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat” menurut Husam melalui laporan yang dikeluarkan oleh Harakah pada 17 Jun lalu.

Husam yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding untuk kerusi Parlimen Putrajaya namun tewas mudah di tangan penyandang kerusi tersebut telah menimbulkan kontroversi apabila mula menyerang golongan pro-ulama Pas apabila mendakwa mana-mana pemimpin parti itu yang tidak menyokong himpunan tersebut sebagai pengkhianat parti.

Ekoran kenyataan tersebut, ramai di kalangan pemerhati politik melihat ia sebagai tanda bermulanya ‘perang’ antara kumpulan Endorgan yang membawa ideologi ‘Anwarinas’ menentang kumpulan pro-ulama. Malah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim, semakin menguatkan spekulasi mengenai pertembungan kuasa antara dua golongan itu.

Zaid mengatakan masa depan parti yang mendakwa kononnya membawa perjuangan Islam itu akan lebih cerah sekiranya dipimpin oleh Husam. In kerana menurutnya, Pas yang kini dipimpin oleh golongan 'pro-ulama' banyak dosa dan memerlukan perubahan sebagai satu usaha membawa parti dengan pendekatan yang berbeza.

"Kumpulan (pemimpin) yang tua-tua atau ulama banyak kepada dosa pahala. Jadi saya rasa pendekatan PAS perlu berbeza," menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh portal Antarapos ketika menghubunginya.

Sejak kebelakangan ini, Husam dilihat begitu cenderung mengeluarkan kenyataan menyerang kelompok pro-ulama parti itu. Mengikut sumber ia mungkin sebagai tindak balas Husam terhadap satu gerakan yang dikatanya sedang giat mengerakan kempen untuk menyingkirkan mereka di kalangan ‘Anwarinas’.

Ia ekoran dari rungutan yang diterima dari pimpinan ‘akar umbi’ yang marah dengan tindakan kumpulan tersebut yang ‘mendewakan’ Anwar berbanding perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Tidak cukup dengan itu, pembaharuan dan pendekatan yang dibawa oleh beberapa tokoh dari kumpulan tersebut juga dianggap sebagai punca kemerosotan prestasi parti itu dalam pilihanraya yang lalu.

Menurut seorang pemimpin Pas di peringkat kawasan, kenyataan Husam itu lebih merupakan kenyataan politik dan bukannya keputusan dasar parti. Ini kerana parti akan berhadapan dengan proses pemilihan bagi memilih kepimpinan tertinggi tidak lama lagi dan kenyataannya yang ‘keras’ itu mungkin bertujuan untuk menarik sokongan golongan muda.

Seorang lagi pemimpin Pas di Selangor ketika ditemui mengatakan kelompok Endorgan yang membawa ideologi ‘Anwarinas’ dan Liberal dan ‘Anwarinas’ dilihat cuba meluaskan pengaruh mereka dengan gerakan untuk merampas sekaligus menolak kepimpinan ulama.

“Pendekatan dan tekanan yang diberikan oleh kelompok itu selama ini telah menyebabkan hala tuju perjuangan parti menjadi terumbang-ambing. Oleh itu sudah sampai masanya untuk ahli Pas yang sayangkan ulama menolak mereka yang menjadi parasit dalam pemilihan yang akan diadakan nanti” menurutnya yang meminta agar identitinya dirahsiakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...