20 June 2013

Orang Melayu Perlu Sedar Dan Bersatu - Shahidan


Portal pembangkang Malaysiakini sekali lagi dilihat menjadi agen penyebar propaganda pembangkang apabila berterusan menggunakan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Shahidan Kassim sebagai modal mewujudkan ketegangan kaum. Portal tersebut dilihat berulang kali menggunakan isu tersebut dengan meminta pelbagai pihak untuk tampil membuat kenyataan balas.

Shahidan sebelum ini dilaporkan telah membuat satu kenyataan kononnya pimpinan dari masyarakat Cina boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya membuang pemikiran rasis. Bekas Menteri Besar Perlis, turut dilaporkan mengatakan “sekiranya orang Cina bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri berbangsa Cina”.

Malah untuk menjadikan isu ini supaya menjadi bertambah menarik, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan segera tampil membuat kenyataan kononnya Shahidan telah melakukan satu kesilapan apabila membangkitkan persoalan tersebut.

Kit Siang mengatakan, masyarakat Cina (DAP) tidak pernah menimbangkan untuk menjadi Perdana Menteri. Malah turut mendakwa DAP juga TIDAK PERNAH mendoktrin atau menyemai ‘perkauman ekstrem’ di kalangan masyarakat Cina.

Walaupun kenyataan Kit Siang ini boleh membuat ramai orang tersenyum sinis dan dipertikaikan, namun ada baiknya ia tidak dibincangkan pada kali ini. Kerana isu pokok yang ingin disampaikan adalah mengenai portal Malaysiakini yang semakin aktif menjalankan gerak saraf untuk ‘menyerang’ minda di bawah sedar rakyat.

Apa yang boleh disimpulkan mengenai laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut ialah mengambil kesempatan terhadap dua kelompok kumpulan di negara ini.

Disebabkan kenyataan itu, portal tersebut telah menggunakan setiap peluang dan ruang bagi menyemarakkan sentimen perkauman dan kebencian di kalangan rakyat. Dari satu segi mereka mungkin mengharapkan agar orang Melayu bangkit mempertikai kenyataan yang ingin mengkhianati perjuangan bangsa sekali gus menanam rasa benci kononnya Umno tidak lagi relevan untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu.

Dari satu segi pula, mereka mungkin mengharapkan agar masyarakat Cina terus hanyut dibuai perasaan dan mula menerima pendekatan ‘Malaysian-Malaysia’ yang dibawa DAP. Ia sekali gus meneruskan sentimen menolak Barisan Nasional bagi merealisasikan agenda ‘merampas’ satu-satunya kuasa yang tinggal untuk masyarakat Melayu itu.

Inilah yang dikatakan gerakan ‘serampang dua mata’ atau dalam istilah English, ‘killing two birds with one stone’. Inilah antara peranan utama portal tersebut yang berselindung atas slogan ‘hak kebebasan akhbar’ namun di masa yang sama merupakan ‘lidah rasmi’ untuk pakatan pembangkang.

Shahidan ketika diminta mengulas lanjut mengenai isu tersebut mengatakan bahawa kenyataannya itu telah diputarbelitkan dan tersasar dari apa yang ingin disampaikan. Menurut beliau apa yang ingin dinyatakan ialah mengenai cabaran yang perlu dihadapi oleh masyarakat Melayu.

“Bangsa lain boleh menjadi Melayu dengan mudah berbanding orang Melayu yang tidak boleh menjadi bangsa lain” katanya.

Ini kerana perlembagaan negara tidak menggariskan sebarang ketetapan atau larangan bagi mana-mana kaum untuk mengisi jawatan tersebut. Malah menurut beliau lagi, istilah Melayu menurut perlembagaan seperti yang termaktub dalam Perkara 160 (2) mengatakan, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Oleh yang demikian, beliau meminta agar orang Melayu sedar dan bersatu-padu demi meneruskan kelangsungan kuasa yang sedang dimiliki ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...