06 June 2013

Anwar : Antara Penipuan SPR Dan Matlamat Menjadi PM




Mungkin disebabkan kerana telah terlalu lama memendam hasrat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim seperti sudah tidak mampu lagi untuk terus menunggu mandat rakyat agar memilihnya secara demokrasi untuk tempoh 5 tahun lagi. Kegilaan terus mengatasi kewarasan akal fikiran Ketua Pembangkang itu apabila terus cuba mendesak agar majoriti rakyat dapat bangkit bersama menolak sistem demokrasi yang ada. 


Pendekatan mudah yang cuba digunakan ialah dengan meminta rakyat untuk sekian kalinya agar turun ke jalan raya bagi menyatakan bantahan kononnya berlaku penipuan sehingga menyebabkan parti dokongannya tewas di dalam pilihanraya umum yang lalu. Lalu apa yang penting, kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini perlu ditumbangkan, waima dengan apa cara sekalipun.

Sedangkan berbagai persoalan yang dibangkitkan sebelum ini telahpun dijawab, namun itu bukanlah perkara penting, kerana pada Anwar menjadi pemimpin no 1 di negara ini mengatasi segala-galanya.

Namun apa menghairankan, bilamana ada segelintir rakyat yang seakan terpukau dengan kepetahan Anwar berpidato sehingga gagal menggunakan akal fikiran yang diberikan oleh Allah swt untuk menilai setiap butir perkataan dengan rational. Lihat sahaja bagaimana Anwar berulang kali mengatakan kononnya pakatan telah menang dalam PRU yang lepas, namun ia telah ‘dirompak’ oleh kerajaan Barisan Nasional.

Namun ‘rompakan’ tersebut hanya melibatkan kawasan-kawasan yang dimenangi oleh BN dan bukan sebaliknya. Kerusi yang melibatkan kemenangan pakatan langsung tidak dibangkitkan malah keputusan tersebut diterima dengan hati yang terbuka.

Menarik bukan? Bila mana pakatan berjaya mengekalkan penguasaan di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, mereka dengan pantas terus mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan negeri, walaupun di Selangor melibatkan beberapa konflik dalaman yang jelas memperlihatkan kerakusan mereka berebut kuasa.

Namun ia bukanlah satu perkara yang pelik, kerana itulah sikap sebenar Anwar yang gagal dilihat oleh golongan pencacai yang begitu jumud dan taasub dengan insan yang mendapat jolokan ‘Anugerah Tuhan’ dari isteri tersayang ini.

Terbaru, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memaklumkan pakatan pembangkang telah memutuskan untuk meneruskan ‘Perhimpunan Black 505’ yang dijangka akan diadakan pada 15 Jun ini. Lebih menarik lokasi yang menjadi pilihan mereka pada kali ini ialah Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Walaupun Pengarah Penganjur Black505 Datuk Johari Abdul sebelum ini mengatakan ratusan ribu dijangka hadir ke program tersebut, namun penganjur sengaja memilih tempat yang sempit dan tidak praktikal. Bukankah ini satu lagi bentuk provokasi yang cuba ditunjukkan?

Ini kerana nawaitu mereka hanya satu, mengharapkan berlakunya kekacauan ketika berlangsungnya program tersebut. Dengan itu ia akan dapat menarik minat pemberita antarabangsa yang semakin sepi dengan isu ekonomi dan sebagainya.

Tanpa skop yang menarik, tugasan mereka akan menjadi bosan maka program anjuran pakatan pembangkang ini diharapkan mampu menjadikan tugasan mereka lebih mencabar. Ini kerana Sudah menjadi rutin harian untuk semua pengamal media untuk mencari skop laporan yang menarik.

Bagi Anwar pula, lebih banyak kekacauan dan kekecohan yang berlaku semakin memudahkan agendanya untuk mewujudkan gerakan ala ‘arab spring’ yang berkesudahan dengan gerakan menumbangkan kerajaan melalui kekerasan.

Buat masyarakat, nilailah sendiri. Apakah benar ‘Perhimpunan Black 505’ bertujuan untuk membantah penipuan yang kononnya dilakukan oleh SPR atau semata-mata untuk memenuhi cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...