21 June 2013

Jawatan Tertinggi Parti, Shahidan Bersetuju Dengan Cadangan Untuk Tidak Dipertandingkan.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Shahidan Kassim mengatakan beliau turut bersetuju dengan cadangan beberapa orang pihak agar kedua-dua jawatan tertinggi di Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada hujung tahun ini.

Ini kerana menurut beliau, Umno baru sahaja menghadapi satu pilihanraya umum dan pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan menyebabkan orang Melayu hilang keyakinan ekoran percaturan politik dalaman parti.
“Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Negeri Perlis, kita menyokong cadangan (yang dikemukakan oleh) pelbagai pihak bahawa (jawatan untuk) Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
“Saya merasakan sekiranya Umno ingin (kembali) kuat dan terus relevan untuk diterima oleh rakyat, maka Umno perlu kurangkan percaturan politik, supaya orang Melayu kembali yakin untuk menyokong Umno” katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Ramai dikalangan pimpinan Umno baik di peringkat negeri dan bahagian sebelum ini mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan. Mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir sebelum ini turut dilaporkan menyokong cadangan tersebut.
Ini kerana katanya, beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi itu akan menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu. 
"Mengikut amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini menyebabkan orang Melayu dan Umno berpecah lagi. Sehubungan itu, saya sokong kalau ada pertandingan tetapi bukan untuk dua jawatan di puncak sekali iaitu presiden dan timbalan presiden” jelas beliau.
Ketika mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shahidan turut menjelaskan orang Melayu tidak mempunyai pilihan kerana Umno adalah merupakan wardah perjuangan untuk Melayu.
“Maka ia perlu kuat dan bersatu padu. Kesatupaduan pertama yang perlu ditunjukkan adalah untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai hasrat beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti nanti, Ahli Parlimen Arau itu menjelaskan, masih lagi tidak memikirkan mengenainya kerana ingin memberikan tumpuan kepada tugas barunya sebagai ‘Gabenor’ Parlimen.
“Yang menjadi perhatian saya pada kali ini ialah, untuk menjadi pemudah cara kepada Sidang Parlimen yang akan mula bersidang pada minggu hadapan dan berdepan dengan ahli-ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) seramai 82 orang (tidak termasuk ahli-ahli kabinet) dan 89 ahli-ahli Parlimen dari kalangan pembangkang” ujar beliau.
Malah menurut beliau juga, pihaknya yakin tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana telah bersiap siaga untuk menghadapi perdebatan yang akan berlangsung nanti.
“Bagi saya apabila seorang ahli parlimen itu sudah dipilih menjadi ahli parlimen, inilah medan mulia yang paling baik untuk mereka berdebat bagi menyampaikan hasrat rakyat” jelas beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...