15 June 2013

Anwar Bukan Lagi Satu Aset, Tetapi Liabiliti

Bukanlah suatu yang memeranjatkan apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan kenyataan untuk tidak memulaukan upacara majlis angkat sumpah untuk ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 24 Jun nanti. Ini kerana skrip drama dan sandiwara seperti ini telah acap kali didendangkan oleh pimpinan pakatan pembangkang yang bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat.
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim sebelum ini mencadangkan agar ahli-ahli parlimen pembangkang memboikot majlis angkat sumpah tersebut sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional. Ekoran kekalahan yang memalukan pada pilihanraya umum yang lalu, Anwar dilihat tidak dapat menerima kenyataan dan mula ‘meroyan’ dengan mengadakan pelbagai siri ceramah, bertujuan untuk menyeru rakyat agar turun ke jalanraya.
 
Pengumuman untuk tidak memboikot majlis tersebut telah dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melalui kenyataan media yang dikeluarkan pagi tadi. Malah pengumuman tersebut dilihat senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin semalam berhubung isu yang sama.
 
"Saya ingin menjelaskan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memboikot majlis angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Semua Ahli Parlimen PKR akan menghadiri majlis angkat sumpah itu nanti. Selepas itu kami akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan bersungguh-sungguh," menurut Azmin.
 
Pada 7 Jun lepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sätu laporan menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya dan akan memfailkan petisyen pilihan raya. Seterusnya 3 hari kemudian, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut membuat pendirian yang sama dengan mengatakan semua ahli parlimen Pas akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa.
 
Walaupun pendirian Azmin itu dilihat selari dengan keputusan yang dibuat oleh DAP dan Pas sebelum ini, namun ia telah mewujudkan satu persoalan yang baru. Apakah ini menunjukkan bahawa pandangan dan cadangan Anwar tidak lagi menjadi satu bentuk arahan yang WAJIB ditaati seperti sebelum ini?
 
Sekiranya ia benar terjadi, maka ternyata ia telah menepati ramalan yang dilakukan oleh beberapa orang penganalisa politik sebelum ini. Mereka sebelum ini meramalkan, sekiranya masih Anwar gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), maka ramai di kalangan pemimpin pakatan akan mula meninggalkan perjuangan Anwar.
 
Ini kerana sebelum menghadapi pilihanraya umum yang lalu, Anwar telah memberikan pelbagai janji-janji manis kepada para pengikutnya sebagai timbal-balas atas sokongan yang diberikan. Maka, kegagalan Anwar membentuk kerajaan yang baru, akan menyukarkan dirinya untuk memenuhi semua janji yang telah diberikan itu.
 
Isu jawatan Menteri Besar Selangor sebagai contoh, ia hampir menyebabkan Azmin membuat satu keputusan drastik dengan meninggalkan PKR bersama para penyokongnya. Mujur Anwar berjaya ‘memujuk’ di saat akhir dan menyelamatkan PKR dari berdepan dengan saat kehancuran.
 
Kesimpulannya ialah, Anwar sebelum ini mungkin merasakan dirinya adalah merupakan pemimpin ulung atas ‘jasanya’ menundukkan DAP dan Pas. Namun pada hakikatnya ia adalah sebaliknya, kerana mereka sebenarnya saling menggunakan antara satu lain kerana masing-masing mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri.
 
Itulah realiti politik yang perlu dihadapi oleh Anwar. Kekuatan yang pernah dimiliki sebelum pilihanraya ternyata telah hilang tanpa disedari. Tiadalah lagi akan akur dengan setiap arahan yang diberikan, kerana dia bukan lagi merupakan satu aset di dalam pakatan tetapi merupakan liabiliti.
 
Atau dalam bahasa mudahnya, Anwar Ibrahim pada ketika ini sedang berdepan dengan satu pengkhianatan dalaman. Kepada mereka yang akhirnya berani mengingkari ‘arahan’ Anwar, tahniah diucapkan. Kerana akhirnya anda semua telah mula sedar, siapa sebenarnya makhluk yang bergelar ‘Pemimpin Anugerah Tuhan’ ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...