Cadangan sesetengah pihak yang mahu
menjadikan parti Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti tunggal terus
mendapat bantahan dari segelintir pemimpin yang merasakan ia masih terlalu awal
dan tidak wajar untuk dilaksanakan pada ketika ini. Ia ekoran dari cadangan
yang dikemukakan oleh Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang
sebelum ini yang mengatakan mahu melihat BN bersifat sebagai satu parti tunggal.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin ketika ditemui mengatakan pergerakan itu telah membuat
ketetapan untuk tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukan itu. Rosnah
menegaskan, sebagai anak bongsu Umno, mereka mengharapkan Umno kekal sebagai
sebuah parti siasah yang mewakili kaum Melayu dan bumiputera di negara ini.
“Pergerakan Puteri mengharapkan Umno
kekal sebagai parti yang bertanggungjawab memperjuangkan bukan sahaja untuk masyarakat
Melayu tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhan. Kita melihat perlu mempertahankan Umno
sebagai parti sahsiah yang mewakili orang Melayu dan bumiputera” katanya.
Menurut beliau lagi sekiranya perlu untuk
memperlihatkan kepada keterbukaan, Umno mungkin boleh melihat kepada beberapa
cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini bagi membuka ruang kepada mereka
yang berminat menyertai Umno.
“Umno sebagai wadah yang perlu dipertahankan,
dan jika perlu untuk melihat kepada keterbukaan, Umno boleh membuka peluang dan
ruang dengan mengambil kira cadangan yang diberikan sebelum ini iaitu membuka
ruang untuk ‘Friend of Umno’ ataupun
‘Friend of Barisan Nasional’ untuk
bersama dengan kita. Namun sekiranya menyentuh kepada soal parti siasah ini ia
perlu dipertahankan” tegas beliau lagi.
Penolong Setiausaha Agung, Parti Pusaka Bumiputera
Bersatu Sarawak (PBB), Puan Hajah Nancy Haji Shukri pula ketika di minta
mengulas turut menolak cadangan yang dikemukakan itu. Menurut beliau ia hanya
merupakan satu cadangan sahaja sambil melontarkan persoalan kewajaran langkah
yang ingin diambil itu.
“Itu hanya satu cadangan sahaja, (apakah)
disebabkan kerana (BN) kalah di kawasan majoriti Cina, terus kita nak
mencadangkan begitu? Adakah ia satu langkah yang wajar? Ia perlu diambil kira
secara menyeluruh perlu dipertimbangkan, perlu dirapikan dahulu perancangannya”
katanya.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri itu lagi, setiap kumpulan etnik dan kaum seperti Melayu, Cina, India,
Iban dan sebagainya ingin mempunyai keistimewaan dan diberikan keutamaan
tersendiri. Atas sebab itu, setiap kumpulan memerlukan perwakilan yang akan
menyuarakan hasrat dan kehendak mereka.
Oleh yang demikian cadangan yang
dikemukakan itu dirasakan masih terlalu awal di pertimbangkan dan masih belum
mampu menepati kehendak rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Untuk menjadikan satu parti tunggal
terlalu awal untuk menepati apa yang dicadangkan itu. Kita tidak mahu apabila
ada satu kumpulan yang gagal mengawal kumpulan mereka sendiri, ingin menjadikan
semua yang lain menepati keperluan mereka. Saya rasa formula itu masih belum
lagi dapat menepati kehendak rakyat Malaysia” tegas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment