15 June 2013

4 Pemimpin MCA Bertanding Jawatan Presiden


Keputusan Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu adalah keputusan yang tepat berikutan prestasi buruk MCA dalam PRU-13. 
MCA hanya memenangi 7 daripada 37 kerusi parlimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi.  Lebih dahsyat, kubunya di Johor juga telah ditembusi pembangkang.  

Mudah bagi MCA untuk menyalahkan pembangkang yang menghasut rakyat sehingga membawa kepada keputusan tersebut. Namun, mustahil bagi MCA untuk menafikan berlakunya ‘tikam belakang’ dan pengkhianatan oleh parti itu terhadap Barisan Nasional.  

Justeru, keputusan Soi Lek merupakan satu kewajaran kerana jelas seseorang wajib memikul tanggungjawab atas perbuatan ‘tikam belakang’, pengkhianatan dan hilangnya semangat setiakawan terhadap BN.   Bukan kita tidak tahu bahawa sepanjang penggal MCA langsung tidak bekerja, malah tidak bersemangat untuk memenangi pilihanraya sehinggakan dilihat bagaikan sengaja ingin membiarkan parti itu kalah teruk.  

Berikutan keputusan Soi Lek untuk tidak bertanding, 4 pemimpin MCA telah menawarkan diri untuk merebut jawatannya.  Mereka ialah Ong Tee Keat - Bekas Presiden MCA, Ong Ka Chuan - Ahli Parlimen Tanjung Malim,  Donald Lim – Pengerusi MCA Selangor dan Naib Presiden MCA dan juga Datuk Seri Liow Tiong Lai – Menteri Kesihatan, Timbalan Presiden MCA dan juga Ahli Parlimen Bentong. 

Kesemua yang menawarkan diri dilihat mempunyai kelebihan masing-masing berdasarkan pengalaman mereka.  Bagi Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ong Ka Chuan yang menang dalam PRU-13 lepas, mereka dikira mendapat ‘bonus’ dari segi persepsi rakyat kerana dilihat sebagai telah bekerja cukup keras dalam keadaan keseluruhan jentera MCA seolah-olah ‘mogok’ sepanjang tempoh berkempen.  

Secara dasarnya, tindakan MCA membuka jawatan Presiden untuk dipertandingkan wajar dipuji di mana ia membuktikan kematangan parti tersebut terutama dalam keadaan yang genting ini. 

Kita berharap agar Presiden MCA yang baru akan benar-benar mampu meletakkan garis jelas antara kesetiaan terhadap parti dan negara, dengan semangat perkauman Cina.  

Sudah sampai masanya MCA mempunyai Presiden yang tidak bersikap ‘defensive’ atau ‘apologetic’ dalam mengambil langkah yang bertepatan dengan aspirasi negara semata-mata untuk menjaga hati kaum Cina.  

Ketegasan amatlah penting, terutama dalam menangani sikap kaum Cina yang semakin lantang dan biadap mencabar perlembagaan serta menghina Institusi Raja-raja.   Selain itu, Presiden baru MCA juga wajib menangani masalah akhbar-akhbar berbahasa Cina yang bermaharajalela mempamerkan hipokrasi paling jelek dalam memainkan isu perkauman.   

Lebih dari itu, Presiden MCA yang baru haruslah ikhlas dan tidak terikut-ikut dengan rentak ektremis Cina yang terdapat dalam berbagai nama dan rupa.  

Ini bukan masa untuk pentingkan diri sendiri atau kaum dan pihak tertentu.  Malaysia sedang mengalami masalah polarisasi kaum yang kronik dan perlu ditangani segera.  Malah, tidak salah dikatakan, bahawa ‘perpaduan’ merupakan satu-satunya masalah besar yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini.  Jika masalah ini selesai, maka kita bolehlah memacu negara ke hadapan dengan sederap langkah yang pasti dan pantas.  

Oleh itu, semua pemimpin yang mewakili kaum masing-masing wajib meletakkan isu perpaduan sebagai tonggak utama.   

Kesimpulannya, tidak ada guna mempunyai Presiden MCA jika rentak tarinya serupa sahaja dengan Presiden DAP.  Justeru, semua yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut wajib bersedia untuk berjuang atas landskap dan struktur sedia ada negara ini dan bukannya menentang atau ingin mengubahnya.  Jika tidak, parti MCA mungkin tidak perlu wujud sama sekali.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...