Penyanyi tersohor negara, Dato'
Siti Nurhaliza bakal mempersembahkan 35 buah lagu tradisional bersama dengan
Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dalam konsert solo irama tradisional
pertamanya. 'Konsert Lentera Timur Dato'
Siti Nurhaliza' ini bakal diadakan di Istana Budaya dari 20 hingga 22
September ini.
Menemui Siti di sidang akhbar
sempena konsert ini di Istana Budaya pada Selasa, dia menyatakan yang dia akan
membawakan kelainan dalam persembahannya. Tidak hanya akan menyampaikan
lagu-lagu yang telah menjadi kebiasaan untuknya seperti Asli, Joget, Inang,
Zapin, Keroncong dan Masri, Siti juga akan membawakan lagu-lagu yang belum
pernah dinyanyikannya dalam mana-mana persembahan seperti lagu yang berentak
Dikir Barat dan Makyong.