Apakah yang akan anda lakukan jika tanpa sedar telah berkahwin dengan
puntianak? Kedengaran seperti tidak logik tetapi di layar perak, ia suatu
realiti – dilema yang perlu digalas watak Adam lakonan berkesan Pekin Ibrahim
menerusi filem Paku Pontianak. Mungkin bagi penggemar karya Hollywood, siri
filem Twilight merupakan contoh terbaik bagi menerangkan konsep cerita yang
sama iaitu percintaan dan kasih sayang luar biasa antara manusia biasa dengan
puntianak.
Paku Pontianak membawa penonton menyelami kehidupan Melati (lakonan Uqasha
Senrose), seorang gadis yang hilang ingatan selepas dilanggar oleh Adam dan
akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan jejaka kampung itu. Kehidupan
Adam sekeluarga mula berubah apabila sering didampingi peristiwa aneh yang
membabitkan Melati sehingga menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain.
