Ada
segelintir orang Melayu sudah malu mengaku diri mereka orang Melayu, kata
Sultan Selangor. Baginda telah menyampaikan titah mengenai keadaan orang Melayu
pada hari yang tepat masanya dan wajar difikirkan oleh orang Melayu.
Sudah
nampak orang Melayu yang inginkan sokongan bukan Melayu sanggup membuat
pengakuan yang bangsa Melayu itu tidak penting.
Tujuan
mereka tentulah berbau politik. Dalam kucar-kacir yang berlaku dalam arena
politik kumpulan atau individu yang tidak faham mentadbir hari ini, kita
tentulah tidak hairan kerana mereka yang menjadi pengikut begitu taasub
sehingga sanggup melihat satu-satunya benteng orang Melayu, iaitu agama Islam
dipermainkan dengan diberikan terjemahan yang lain dan orang Melayu yang berada
di situ tidak ada yang berani bersuara.
Begitulah
hinanya orang Melayu diletakkan oleh orang lain dan kita sendiri tidak berani
mengatakan apa-apa. Sebab apa..., sebab takut nanti hilang sokongan bangsa lain
kepada parti politik kita. Tidak cukup penghinaan yang begitu, kita sendiri
mengatakan Ketuanan Melayu tidak penting. Apa-apa dasar yang memberikan
pertolongan kepada orang Melayu tidak penting, kerana orang Melayu hari ini
sudah tidak perlukan bantuan itu semua.
Tidak
mengapalah kalau keadaan menunjukkan yang kita ini jauh tinggal di belakang
bangsa lain. Tidak mengapalah kalau keadaan ketidaksamaan ini berlanjutan
sampai bila-bila demi kepentingan politik kita. Berkaitan dengan keadaan ada
segelintir orang Melayu yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang
Melayu, kita juga berasa sedih apabila ramai dalam kalangan orang Melayu tidak
pandai menggunakan bahasa Melayu.
Lihat
saja persidangan akhbar syarikat-syarikat milik kerajaan yang diketuai orang
Melayu. Boleh dikatakan tidak pernah berjalan dalam bahasa Melayu. Maklumlah
ketua-ketua eksekutif kita terlatih di luar negara dan penguasaan bahasa Melayu
mereka lemah sekali. Lagi pun, lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris, sebab
ada wartawan-wartawan yang datang pun tak faham bahasa Melayu, tambahan lagi
ada perkataan seperti Quantitative Easing yang susah hendak diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu.
Tetapi
siswa dan siswazah kita kena belajar di universiti kita dalam bahasa Melayu.
Tak mengapalah kalau rakan mereka di universiti swasta belajar dalam bahasa
Inggeris. Jadi, kalau mereka dari universiti awam ini mencari kerja di sektor
swasta, mereka akan bersaing dengan siswa lulusan dari universiti swasta. Tidak
mengapa jika mereka diketepikan kerana mereka boleh jadi petani moden.
Sesiapa
yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada hari ini boleh dianggap
ketinggalan zaman kerana yang penting hari ini adalah merit. Penjawat awam pun
ramai yang enggan mengetengahkan hak dan kepentingan orang Melayu. Sebab
itulah, jumlah rungutan kepada Biro Pengaduan Awam tentang penjawat awam yang
angkuh bertambah lagi.
Keadaan
semasa menunjukkan bukan saja jurang antara orang Melayu dengan bangsa lain
masih luas tetapi jurang sesama orang Melayu sendiri semakin meluas. Ertinya
yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ketidakseimbangan
antara negeri-negeri juga masih luas. Tetapi itu semua tidak penting kerana
sesiapa yang tidak mampu bersaing dalam zaman liberalisasi dan globalisasi hari
ini, mereka akan ketinggalan.
Lagi
pun, di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, ramai rakyatnya yang
merempat. Di India dan Indonesia misalnya, ramai yang masih tidur di bawah
jambatan dan di ruang hadapan hotel-hotel. Jadi, apa hendak hairan kalau ada
orang Melayu yang masih tinggal dalam rumah seperti reban ayam atau reban
kambing.
Sekurang-kurangnya,
mereka tidak tinggal di bawah jambatan atau di hadapan hotel Hilton atau
Shangri-la.
Kalau
sudah orang Melayu sendiri tidak mengaku diri mereka orang Melayu, elok
sangatlah dilaksanakan cadangan yang dibuat oleh seseorang Melayu dahulu iaitu
di bawah ruangan bangsa dalam kad pengenalan, letak sahaja perkataan Malaysia,
bukan perkataan Melayu. Senang bukan?. Cuma orang-orang seperti Tan Sri
Muhyiddin Yassin mungkin tidak setuju, sebab dia mengira Melayu dahulu, rakyat
Malaysia di tempat kedua.
Apalah
nak jadi dengan orang Melayu yang tak mengaku diri mereka orang Melayu? Kita
letakkan saja mereka di sebelah kerana dalam alif ba ta, sekali ba itu bangsa
dan kalau sudah tak mahu mengaku bangsa biarkan sajalah. Tidak hairanlah kalau
perkara yang lain-lain berkaitan dengan bangsa pun tidak penting lagi bagi
mereka seperti budaya, agama dan penggunaan bahasa Melayu.
Mudah
bagi kita untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa mereka yang
tidak mahu mengaku orang Melayu ini mengganggu kita dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment